Penyelewengan punca Melayu masih perlu bantuan kerajaan, kata majlis

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Salah satu sebab utama mengapa sebahagian besar Melayu Bumiputera masih perlukan bantuan kerajaan adalah disebabkan penyelewengan golongan Melayu kaya, kata Prof Zainal Kling.

Pengerusi Biro Sosio-Budaya Majlis Perundingan Melayu (MPM) berkata, bantuan sepatutnya diberikan mengikut kriteria golongan isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana bukannya disebabkan penerima itu Bumiputera semata-mata.

“Bantuan kerajaan adalah secara terpilih tetapi ada juga yang menyeleweng sehingga beberapa golongan seperti petani dan nelayan tidak mendapat bantuan, sekali gus mewujudkan jurang pendapatan yang besar.

“Padahal orang Melayu paling mudah dapat bantuan, bukan sahaja dari Bantuan Sara Hidup (BSH) tetapi juga melalui zakat dan dana infaq. Jadi mereka tidak sepatutnya berada di paras kemiskinan,” katanya kepada FMT.

Apa yang sukar ialah menangani penyelewengan dan budaya “kabel” dalam kalangan orang Melayu.

“Bantuan kerajaan seperti biasiswa, kuota pendidikan dan perumahan masih relevan tetapi akan ada juga orang Melayu kaya yang mendapatnya.

“Kerajaan tidak boleh nak betul-betul sekat orang Melayu kaya daripada menerima bantuan, tetapi mereka sendiri kena berubah,” katanya.

Pada masa sama, Zainal menganggap kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kemudian Pakatan Harapan (PH) masih belum dapat mengurangkan jurang pendapatan antara kaum.

“Jurang pendapatan antara orang Melayu berkait rapat dengan jurang ekonomi antara kaum dan perkara ini masih gagal ditangani sampai sekarang.

“Selagi ia tidak ditangani, selagi itu orang kaya terus hidup dengan senang, yang miskin pula terus menderita,” katanya.