Sertai Amanah jika kecewa dengan Hadi, pesan Mat Sabu

PETALING JAYA: Mohamad Sabu mengajak ahli-ahli PAS yang kecewa dengan Datuk Seri Hadi Awang menyertai partinya, mengatakan sekarang masanya untuk ahli-ahli parti-parti Islam bersatu dalam Amanah.

Presiden Amanah itu berkata demikian susulan penyelesaian luar mahkamah antara Hadi dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, yang menyaksikan kedua-dua pihak menarik balik tuntutan masing-masing.

Artikel yang menjadi pertikaian itu masih dalam talian dan tidak diubah.

Mohamad mendakwa rakan-rakannya dalam PAS tidak boleh menerima tindakan Hadi menarik balik samannya, kerana yakin dengan penafian pimpinan tertinggi parti bahawa mereka tidak pernah menerima wang seperti yang didakwa.

“Keputusan PAS ini suatu detik penting kepada kepincangan berterusan dalam parti itu sejak 10 tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Ia juga sekaligus mengesahkan wujud jalinan ‘hubungan gelap’ parti itu yang turut melibatkan unsur-unsur penerimaan wang.”

Artikel yang disiarkan Sarawak Report pada Ogos 2017 antara lain mendakwa dana berjumlah RM90 juta “dipercayai” dimasukkan ke dalam akaun bank pimpinan atasan PAS bagi menarik mereka supaya menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).

Hadi kemudian memfailkan saman fitnah di mahkamah tinggi London. Kedua-dua pihak baru-baru ini bersetuju untuk menyelesaikan saman itu di luar mahkamah dan menarik balik tuntutan masing-masing.

Semalam, Datuk Seri Najib Razak nafi pernah membayar RM90 juta kepada pemimpin PAS, mengatakan akaunnya dan Umno sudah disiasat pihak berkuasa sejak Mei tahun lepas.

“Jika ianya benar ada sebarang bayaran dari saya ataupun dari Umno, sudah tentu kerajaan PH akan mengambil kesempatan untuk membeku akaun bank presiden PAS ataupun akaun PAS,” kata bekas perdana menteri itu.

Mohamad mengarahkan jentera partinya supaya membuat persediaan menyambut ahli-ahli baru, mengatakan walaupun pernah berselisih faham, tiada dendam daripada ahli Amanah kepada ahli PAS yang ingin berhijrah.