Keluarga rayu PM arah siasatan baru ke atas kehilangan 4 individu lebih 2 tahun lalu

Keluarga dan rakan 4 individu yang hilang, berhimpun di Putrajaya untuk menyerahkan memorandum kepada perdana menteri bagi menggesa siasatan baru dijalankan.

PUTRAJAYA: Sebuah kumpulan yang ditubuhkan susulan kehilangan misteri 4 individu lebih 2 tahun lalu merayu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengarahkan siasatan baru dijalankan sepasukan penyiasat bebas ke atas kes itu.

Gesaan itu dibuat Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) sempena kehilangan Pastor Raymond Koh yang genap 2 tahun hari ini.

Jurucakapnya, Rama Ramanathan berkata, pihaknya percaya Koh dan 3 individu lain – Amri Che Mat, Joshua Hilmy serta isterinya, Ruth Sitepu masih hidup.

“Kita mengakui terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan tentang siapa yang telah menculik mereka dan mengapa mereka diculik atau hilang.

“Dua tahun selepas satu video penculikan Koh tersebar, pasukan polis kita bertegas tidak tahu siapa menculiknya, dalam apa yang ramai penonton video itu simpulkan tentunya atau sekurang-kurangnya (membabitkan) pasukan separa tentera terlatih.”

Beliau berkata demikian di luar Pejabat Perdana Menteri sebelum menyerahkan memorandum kepada pegawai khas perdana menteri, Said Kamis bagi menggesa campur tangan Dr Mahathir.

Rama Ramanathan tidak percaya 4 individu terbabit sudah meninggal dunia.

Rama berkata, pihaknya menghargai usaha Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengadakan inkuiri sejak 2017 ke atas kehilangan 4 individu itu, tetapi jawapan polis kurang memuaskan.

“Apabila Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14, Dr Mahathir mengumumkan kerajaan baru akan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Jika 4 orang yang hilang itu disyaki terbabit salah laku, mereka patut disiasat, didakwa dan dibicarakan di mahkamah.

“Jika didapati bersalah, hukum mereka. Tiada orang patut dihukum di luar bidang kehakiman.”

Sementara itu, isteri Koh, Susanna Liew berkata, keluarga dalam kebuntuan selepas gagal merungkai kehilangan misteri suaminya menggunakan pelbagai platform.

“Disebabkan itu, kami merayu perdana menteri dan memohon beliau menemui kami,” katanya sambil menambah keluarganya menghadapi saat sukar, termasuk terpaksa menghadiri sesi kaunseling kerana tertekan dan sedih dengan kehilangan Koh.

Susanna Liew merayu perdana menteri untuk mengadakan pertemuan dengan keluarga 4 individu hilang itu.

Koh diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100m dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017, semasa beliau perjalanan ke rumah rakannya.

Rakaman kamera litar tertutup sebuah rumah berhampiran tempat kejadian menunjukkan lebih 10 lelaki dan 7 kenderaan terlibat dalam kejadian pada siang hari itu.

Sehingga kini, tiada wang tebusan diminta atau komunikasi dengan penculik, memberi gambaran wang bukan motif penculikan itu.

Amri pula ialah pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope yang hilang sejak 24 November 2016. Isterinya dilaporkan berkata, saksi ternampak 5 kenderaan menghalang laluan kereta Toyota Fortuner milik Amri, sebelum beliau dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka di Bukit Chabang, Perlis.

Joshua dan Ruth pula kali terakhir dilihat pada 30 November 2016, hampir seminggu selepas kehilangan Amri.