Pendidikan alat utama bela kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah, kata NGO

Data JPN pada 2017 menunjukkan Sabah memiliki 23,154 penduduk tanpa kerakyatan berumur di bawah 21 tahun.

PETALING JAYA: Kemelut kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sabah hanya boleh diatasi dengan menyalurkan pendidikan kepada golongan itu, kata sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Pengasas dan pengarah urusan 1Moment4Them, Fatiha Shuib berkata, pembelaan kepada kanak-kanak tanpa dokumentasi sah itu penting untuk pembentukan sahsiah mereka pada masa akan datang.

Jelasnya, pembelaan setiap insan di atas muka bumi adalah dilindungi di bawah hak asasi manusia, tetapi malangnya anak-anak tanpa kerakyatan tidak mendapat pembelaaan dan keadilan yang sewajarnya.

Kata Fatiha, tanpa pendidkan dan pembelaan tidak mustahil kanak-kanak itu akan membesar menjadi anggota masyarakat yang tidak baik.

Lebih menakutkan katanya, mereka akan membahayakan negeri itu dengan jumlah mereka yang ramai.

“Kita tidak boleh buang (halau) mereka, mereka sudah bertapak di sana.

Fatiha Shuib.

“Apa yang kita boleh bantu ialah persiapkan diri mereka dengan pendidikan supapa mereka terdorong untuk menjadi anggota masyarakat yang baik,” katanya ketika dihubungi FMT.

1Moment4Them merupakan sebuah NGO yang banyak menjalankan misi kemanusiaan di serata dunia, termasuk di Palestin dan Gaza.

Fatiha memaklumkan, projek terbarunya di Sabah adalah menyediakan Latihan Industri Ekonomi Mandiri (LIEM) dengan memberikan pendedahan kepada kanak-kanak tanpa kerakyatan mengenai ilmu berniaga.

“Kita akan ajar mereka bagaimana untuk menjadi usahawan. Bukanlah usahawan yang kaya raya, tetapi usahawan yang boleh memberikan jaminan kelangsungan hidup mereka.

Kemelut penduduk tanpa kerakyatan bukan lagi isu asing di negeri Sabah.

Data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada tahun 2017 menunjukkan Sabah memiliki seramai 23,154 orang tanpa kerakyatan yang berumur di bawah 21 tahun dan paling kurang salah seorang daripada ibu bapa mereka adalah warga negara Malaysia.

Negeri itu sahaja menyumbang kepada separuh daripada 43,445 orang yang berhadapan dengan keadaan itu setakat 13 Oktober 2017, manakala seramai 436 individu dari Labuan.

Isu itu dikatakan berpunca daripada kebanjiran pendatang tanpa dokumen sah dari negara jiran Filipina dan Indonesia.

Walaupun isu kanak-kanak tanpa kerakyataan dilihat masih belum bepenghujung, namun terdapat pihak yang sedia memberikan harapan kepada anak-anak tersebut.

Selain 1Moment4Them, antara pihak yang turut membantu memberikan pendidikan kepada golongan itu ialah sebuah sekolah alternatif, Teach For Need, yang terletak di Semporna, Sabah.

Guru besarnya, Mukmin Nantang dalam satu temu bual dengan FMT berkata, kanak-kanak itu memerlukan asas pendidikan bagi membentuk peribadi yang berkualiti.

Mukmin, 25, graduan Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, kanak-kanak itu mesti dibela dengan memberikan pendidikan.

“Pendidikan adalah hak setiap manusia.

“Mereka perlu diberikan pendidikan agar mampu membina sahsiah diri dan membentuk personaliti,” katanya.

Jelas Mukmin, jika kanak-kanak tersebut terus terbiar dan tidak mendapat perhatian sewajarnya, dikhuatiri mereka akan mula merasakan diri mereka tidak dihargai dan ditindas.

“Bila mereka sudah berasa tidak dipedulikan dan terus terbiar, suatu hati nanti mereka akan sampai ke tahap ‘meletup’ (memberontak),” katanya.

Media sebelum ini melaporkan wujudnya dakwaan bahawa kedudukan penduduk Sabah yang majoriti beragama Kristian secara sistematik dan dengan sengaja diambil tempatnya oleh pendatang beragama Islam dari negara jiran bagi menstruktur semula penduduk negeri itu untuk tujuan politik.

Rancangan ini dikenali dengan nama ‘Projek IC’ atau ‘Projek M’ dan didakwa berlaku pada tahun 1990-an, selepas Parti Bersatu Sabah yang majoriti anggotanya penduduk majoriti Kadazan Dusun memerintah negeri Sabah dari 1985 ke 1994.

Sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) yang ditubuhkan pada 2012 berhubung isu itu mendapati ‘Projek IC’ mungkin wujud, tetapi menolak penglibatan parti politik, sebaliknya menyalahkan pegawai kerajaan yang rasuah dan sindiket atas kemasukan ramai orang asing ke Sabah .