Dr M: Jangan libatkan kami dengan perang di Yaman

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah (tengah) menerima hadiah penghargaan pada forum ‘Stand with Yemen’ di Kuala Lumpur Hari ini. Turu hadir ialah pengerusi Suhakam, Razali Ismail (kiri) dan rektor Universiti Islam Antarabangs, Dzulkifli Abd Razak.

KUALA LUMPUR: Putrajaya hari ini menegaskan tidak campur tangan di Yaman, sekali gus menjauhkan diri daripada sokongan yang diberikan kerajaan sebelum ini kepada kempen ketenteraan yang dipimpin Arab Saudi sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan di negara bergolak itu.

“Kami tidak akan berpihak dalam persaingan kuasa besar dan tidak akan bergantung pada persekutuan ketenteraan atau perkongsian strategik,” kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam ucapan yang disampaikan oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah di sini, Dr Mahathir secara berterus terang berkata, Malaysia “memberi notis” kepada semua negara supaya menghormati pendirian berkecualinya.

“Jangan harap kami akan menyertai anda bagi menghadapi pesaing anda dan jangan harap kami akan berperang di pihak anda” katanya, pada satu forum bertemakan “Stand With Yeman” , di sini.

“Kami akan menolak semua yang datang untuk mendominasi atau memecah-belahkan rantau kami kepada kem-kem yang bersengketa,” katanya.

Berhubung Yaman, Dr Mahathir menjelaskan, perbezaan tempatan dibiarkan berkembang menjadi perang saudara, yang kemudiannya dieksploitasi oleh kuasa luar untuk tujuan mereka sendiri.

“Walaupun Malaysia bernasib baik kerana mempunyai asas perpaduan kebangsaan yang kukuh, namun kita tidak boleh bersikap sambil lewa. Kita mesti berusaha keras untuk mengatasi perselisihan kaum dan agama kita,” katanya.

“Itulah janji yang dibuat oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat dan kami akan melakukan yang terbaik untuk menunaikannya.”

Saifuddin membacakan ucapan perdana menteri itu pada simposium dan pameran foto Stand With Yemen yang diadakan di Institut Tamadun Islam & Dunia Melayu (Istac) di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Sejak tahun 2015, Arab Saudi menyokong tentera kerajaan Yaman menentang pemberontak Houthi, yang kebanyakannya bermazhab Syiah.

Tentera Malaysia dikerahkan ke Yaman pada 2015 tetapi dipanggil balik selepas kerajaan baru memberitahu Riyadh bahawa Malaysia tidak lagi terlibat dalam perang tersebut.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dikritik berhubung keputusannya menyertai pakatan tentera pimpinan Arab Saudi untuk membantu kerajaan Yaman, walaupun mendakwa peranan Malaysia tidak bersifat ketenteraan.

Pengkritik memberi amaran bahawa Malaysia boleh dipertanggungjawabkan ke atas angka kematian besar yang disebabkan pengeboman Yaman oleh pakatan tentera yang dipimpin oleh Saudi itu.

Dr Mahathir hari ini menempelak perpecahan yang berlaku di Timur Tengah dengan mempersoalkan ke mana perginya “semangat persaudaraan Islam dan masyarakat sebagai pengikut Nabi”. Tidak malukah kita?, soal beliau.

Beliau berkata, di Yaman, umat Islam membunuh sesama orang Islam, sekali gus mempersalahkan mereka kerana menyerang dan mengganasi rakyat awam.

Dr Mahathir bertanya bilakah mereka akan menyedari bahawa perang bukanlah penyelesaian.

Beliau berkata, sudah tiba masanya negara Islam menolak perang dan bekerja untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi semua rakyat.

Beribu-ribu orang ditindas dan dinafikan hak mereka, katanya.

Dr Mahathir mencadangkan supaya kedua-dua puak dalam konflik di Yaman untuk mempertimbangkan pengisytiharan Hodeidah sebagai sebuah bandar terbuka di bawah kawalan PBB supaya satu zon selamat boleh diwujudkan bagi membolehkan bantuan dibawa masuk.

Pertubuhan bantuan global, Save the Children baru-baru ini mendedahkan sebanyak 85,000 bayi di bawah umur 5 tahun mungkin mati akibat kebuluran atau penyakit di negara yang dilanda perang sejak 2015 itu.

Sebahagian daripada masalah itu adalah berpunca daripada ketidakmampuan mendapatkan kemudahan perubatan dan makanan berikutan tindakan Saudi menutup Hodeida yang merupakan pintu masuk 80% import makanan dan bantuan ke Yaman.

Dr Mahathir juga berkata, Malaysia harus sentiasa berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini kerana jika tidak ia akan mengalami nasib yang sama yang menimpa Timur Tengah.

“Kta akan dipaksa membeli lebih banyak senjata daripada kuasa-kuasa besar supaya kita boleh memerangi satu sama lain. Keuntungan akan meningkat, sementara rantau kita menjadi semakin lemah dan tidak stabil.

“Malaysia juga akan bekerjasama dengan rakan kami di Asean untuk menaik taraf rangka kerja serantau dan memastikan kami tidak memberi ruang untuk campur tangan kuasa besar demi memastikan persaingan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China tidak membawa kepada keretakan wilayah,” katanya.

Sementara itu, perdana menteri turut mengumumkan bahawa Malaysia akan menyumbang AS100,000 (RM407,000) untuk Yaman.

Acara tersebut dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Kumpulan G25, Sisters in Islam (SIS), Front Renaissance Islam dan kumpulan veteran tentera Persatuan Patriot Nasional (Patriots) dan lain-lain.

FMT adalah rakan media rasmi.