Mahkamah benarkan Sri Ram terus jadi timbalan pendakwa raya kes Najib

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib Razak mengetepikan Gopal Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes bekas perdana menteri itu.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa bagi kesnya berkaitan 1MDB.

Hakim, Collin Lawrence Sequerah berkata, tiada alasan menunjukkan Sri Ram berat sebelah sebagai timbalan pendakwa raya yang mengendalikan kes itu.

“Tiada asas untuk orang awam membuat kesimpulan tertuduh tidak akan mempunyai perbicaraan adil, jika GSR mengendalikan kes itu,” katanya merujuk parap Sri Ram.

Najib memohon untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa raya secara fiat bagi 25 pertuduhan rasuah berkaitan dakwaan pemindahan dana 1MDB ke akaun banknya.

Bekas hakim itu juga mengetuai pasukan pendakwaan bagi kes pecah amanah Najib membabitkan penyalahgunaan dana kerajaan bagi penyelesaian bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan dakwaan meminda laporan audit 1MDB.

Hari ini, Sequerah berkata, Sri Ram dalam afidavitnya menyatakan beliau tidak terbabit dalam siasatan pihak berkuasa.

Mengenai hujah Najib yang Sri Ram perlu menunjukkan surat pelantikan sebagai pendakwa secara fiat, mahkamah berkata, bekas perdana menteri itu tiada hak berbuat demikian.

“GSR dalam afidavitnya mengesahkan surat pelantikan itu di bawah Akta Rahsia Rasmi dan peguam negara datang ke mahkamah serta menegaskan ia adalah sulit,” kata Sequerah.

Beliau berkata, peguam negara sudah menjelaskan pelantikan Sri Ram dalam kenyataan medianya.

Peguam, Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, mereka mahu mahkamah menghentikan sementara perbicaraan yang dijadualkan 15 April nanti.

“Kami akan memfailkan rayuan hari ini. Saya juga berjanji kepada mahkamah, kami akan mempercepatkan pendengaran rayuan.”

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya, Akram Gharib membantah permohonan Najib untuk penangguhan kerana rayuan bukan alasan untuk memohon perbicaraan dihentikan sementara.

Sequerah kemudiannya menolak cubaan untuk menghentikan perbicaraan itu.

Pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya secara fiat diumumkan Peguam Negara, Tommy Thomas pada Ogos lalu.

Beliau dilantik mengetuai kajian ke atas kertas siasatan, merangka pertuduhan dan mendakwa mana-mana individu yang didakwa atas kesalahan berkaitan 1MDB.

Sri Ram mewakili Jabatan Peguam Negara mendakwa Najib, isterinya, Rosmah Mansor, Shafee, bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, bekas pengarah eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy, bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi, bekas ketua perisikan, Hasanah Ab Hamid dan bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

Najib kini berdepan 42 pertuduhan berkaitan 1MDB, bekas anak syarikatnya, SRC International, pemindaan laporan audit 1MDB dan penyalahgunaan dana kerajaan untuk penyelesaian bayaran dengan IPIC.