BN rampas Semenyih daripada PH, kemenangan ke-2 dalam 6 PRK

Zakaria Hanafi (tengah, bersongkok) diapit pemimpin BN dan PAS yang meraikan kemenangannya di pentas Dewan Sri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang, malam ini. Turut hadir bekas perdana menteri, Najib Razak.

SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Dewan Undangan Negeri Semenyih daripada Pakatan Harapan dengan majoriti 1,914 undi, pilihan raya kecil ke-2 yang dimenangi parti itu sejak kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan Zakaria Hanafi mendapat 19,780 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Muhammad Aiman Zainali yang meraih 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (847 undi) dan calon bebas, Kuan Chee Heng (725 undi).

Terdahulu, SPR mengumumkan peratusan keluar mengundi bagi Semenyih mencecah 73.34%, yang tertinggi dalam 6 PRK, selepas semua 24 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi.

Seramai 53,411 pengundi biasa layak mengundi hari ini dalam PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada pilihan raya umum ke-14 lalu, Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi. PH meraih 23,428 undi, manakala BN (14,464 undi), PAS (6,966 undi) dan PSM (1,293 undi).

Zakaria, 58, ialah bekas pengerusi tetap Umno Cawangan Kampung Sesepan Kelubi. Beliau kini ahli biasa parti itu.

Aiman, 30, ialah bendahari PPBM Hulu Langat dan menantu Bakthiar, serta bekerja sebagai jurutera elektrik.

Nik Aziz, 25, ialah pemilik perniagaan urut tradisional dan dermawan berusia 56 tahun, Kuan ialah bekas pegawai polis yang juga dikenali sebagai “lelaki 10 sen” atau “Uncle Kentang”.