Anwar belum jumpa Zahid bincang kerjasama PRN

Anwar belum jumpa Zahid bincang kerjasama PRN

Pengerusi PH sebelum ini berkata, beliau akan berunding dengan pengerusi BN berhubung pendirian kedua-dua gabungan di Johor bertanding solo pada PRN.

anwar ibrahim zahid hamidi
Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebelum ini berkata, beliau berharap rundingan bersama Pengerusi BN Zahid Hamidi akan berjalan lancar demi kebaikan kedua-dua belah pihak.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim mengesahkan beliau belum bertemu dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi untuk membincangkan mengenai kerjasama PRN.

“Belum, belum lagi,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga perdana menteri itu ringkas, ketika ditanya mengenai perbincangan hal-hal berkaitan kerjasama antara parti bagi menghadapi PRN.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Agihan Perdana Lembu Korban Madani Parlimen Permatang Pauh di Padang Homestay Mengkuang Titi, Bukit Mertajam, hari ini, lapor Sinar Harian.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akan berunding dengan Zahid berhubung pendirian BN dan PH Johor bertanding solo pada PRN Johor akan datang.

Katanya, beliau berharap rundingan akan berjalan lancar demi kebaikan kedua-dua belah pihak.

Susulan PRN Johor pada 2022, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi DUN.

PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi, sementara Perikatan Nasional (PN) menang tiga kerusi dan Muda satu.

DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April tahun depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.