
Zahid, sebagai responden prospektif kedua dalam permohonan Badan Peguam itu, mengemukakan lima persoalan undang-undang bagi memenuhi syarat di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan hanya diberikan jika sesuatu kes membangkitkan persoalan perlembagaan atau undang-undang baharu yang penting kepada kepentingan awam buat kali pertama.
Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman berkata dokumen berkaitan telah difailkan di pendaftar Mahkamah Persekutuan semalam.
Responden prospektif pertama, iaitu AG, dijangka memfailkan permohonan kebenaran merayunya minggu depan.
Zahid, yang juga timbalan perdana menteri dan AG mahu Mahkamah Persekutuan mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun 2024 yang menolak permohonan kebenaran Badan Peguam.
Pada 7 Mei lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Badan Peguam telah melepasi syarat yang diperlukan untuk merit kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.
Hakim Faizah Jamaludin, yang bersidang bersama Hakim Lim Hock Leng dan Nadzrin Wok Nordin, berkata Badan Peguam mempunyai kes yang boleh dipertikaikan dan bukan remeh.
Beliau menambah bahawa keputusan Hakim Collin Lawrence Sequerah memberikan DNAA selepas permohonan pihak pendakwaan pada 2023 hanyalah satu perintah prosedur yang dibuat dalam perjalanan prosiding jenayah tersebut.
Pada Januari 2022, Sequerah memerintahkan Zahid membela diri terhadap kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.