SPRM buka 6 kertas siasatan mengenai terowong dasar laut P Pinang

SPRM buka 6 kertas siasatan mengenai terowong dasar laut P Pinang

Tiga kertas siasatan dikembalikan timbalan pendakwaraya untuk siasatan lanjut, kata SPRM.

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka 6 kertas siasatan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang sejak 2017.

SPRM dalam kenyataan hari ini berkata kertas siasatan pertama dibuka pada Julai 2017 manakala 5 lagi kertas siasatan dibuka pada Januari 2018.

“Sebanyak 5 kertas siasatan telah selesai dan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya.

“Tiga kertas siasatan telah dikembalikan kepada SPRM untuk siasatan lanjut manakala 2 lagi masih dalam kajian timbalan pendakwa raya.

“Selebihnya, dalam siasatan SPRM,” demikian menurut kenyataan itu yang dikeluarkan sebagai respons terhadap dakwaan seorang penulis blog berhubung wujud unsur rasuah berkaitan projek tersebut baru-baru ini.

Raja Petra Kamaruddin dalam siri artikel yang disiarkan oleh sebuah portal mendakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan 4 exco kerajaan Pulau Pinang menerima rasuah berkaitan projek terowong dasar laut itu.

Raja Petra mendakwa pendedahan itu diperolehi daripada kertas siasatan SPRM berhubung kes pembinaan terowong bernilai RM6.3 bilion berkenaan.

Susulan tulisan Raja Petra itu, SPRM dilaporkan membuat laporan polis mengenai kebocoran kandungan kertas siasatan tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.