Umno-PAS sudah bersanding, kata Tok Mat

Mohamad Hasan (duduk, 4 dari kiri) dan Tuan Ibrahim Tuan Man (duduk, 3 dari kanan) bergambar bersama pemimpin Umno dan PAS selepas mesyuarat 2 jam di ibu pejabat Umno hari ini.

KUALA LUMPUR: Umno mengumumkan kerjasama rasmi dengan PAS di peringkat Parlimen dan setiap pilihan raya kecil, kata Timbalan Presidennya, Mohamad Hasan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Tok Mat berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti hala tuju kedua-dua parti dan senario politik tempatan.

“Kita bekerjasama bagi menyatupadukan orang Melayu dan ummah tanpa meminggirkan agama dan kaum lain.

“Kita bakal meneruskan gerak kerja bersama dalam setiap pilihan raya kecil dan memantapkan kerjasama di peringkat Parlimen dan hasil kerjasama juga akan dibawa kepada rakan-rakan parti.

“Sebab itu mula-mula kita hantar cincin tunang di Sungai Kandis, lepas itu bertunang di Seri Setia, itu yang sekarang sudah kenduri kahwin, kita sudah bersanding,” katanya selepas mesyuarat 2 jam di ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini,

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti Islam itu dan Umno akan terus mencari titik persamaan demi gabungan itu.

“Kita saling menghormati dasar parti dan polisi masing-masing.

“Cuma kita akan terus mencari titik persamaan, khususnya dalam soal penyatuan ummah,” katanya.

Musuh Umno, PAS sama

Mohamad berkata, Umno dan PAS akan bertindak sebagai pembangkang bersama dalam Parlimen.

“Kita akan menjadi sebuah kaukus pembangkang yang semak dan imbang sekali gus akan membahas apa sahaja isu sama ada memberikan sokongan kepada kerajaan dan pada masa tak bersetuju kalau mendatangkan kemudaratan.

Mohamad juga menegaskan Umno tidak akan berbalah dengan PAS sebaliknya menumpukan sebagai pembangkang kepada kerajaan Pakatan Harapan.

“Kita tidak ada masa nak lawan satu sama lain, kita ada musuh yang sama, Umno dan PAS adalah kawan, PH adalah kerajaan yang kita tumpu ketika ini.

“Apa yang penting, kita tidak mahu masyarakat berpecah belah, kita mahu mengamalkan politik matang dan bekerjasama dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata, satu jawatankuasa kerja teknikal ditubuhkan bagi membincangkan kerjasama parti dan akan dipengerusikan oleh naib presiden kedua parti iaitu Khaled Nordin dan Idris Ahmad.

“Hasil perbincangan juga akan dibawa ke peringkat rakan parti masing-masing, maknanya Umno akan bawa ke mesyuarat Barisan Nasional, PAS pula bawa ke Gagasan Sejahtera.

“Kita tidak akan meminggirkan rakan parti, kita harap kerjasama yang kita buat ini dapat diterjemahkan sebaik mungkin. Sebab itu tidak ada simbol, ini bukan penyatuan dua parti tapi kerjasama dua parti,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata, PAS juga tidak akan meminggirkan kaum dan agama lain selain Islam kerana konsep hubungan partinya dengan Umno bukan untuk Melayu sahaja.

“Kita ada Dewan Himpunan Penyokong PAS yang meliputi orang Cina, India dan orang Sabah serta Sarawak.

“Jadi kita sebenarnya bersikap terbuka, tidak hanya fokus kepada kelompok Melayu tetapi juga ummah iaitu seluruh rakyat Malaysia,” katanya.