Bank Pembangunan akan ‘dibersihkan’, kata pengerusi baru

Pengerusi baru Bank Pembangunan Malaysia, Zaiton Mohd Hassan.

KUALA LUMPUR: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB), yang menjadi tumpuan berikutan dakwaan amalan peminjaman yang lemah, dijangkakan menjalani proses “pembersihan” tidak lama lagi.

Bank itu dijangkakan lebih berhati-hati dalam proses dan standard kreditnya.

Pengerusi barunya, Zaiton Mohd Hassan berkata, bank itu tidak akan mengorbankan kedudukannya sebagai bank pembangunan dan akan terus mengimbangi peranannya.

“Pembersihan akan dilakukan tahun ini dan kami akan menerima ketua pegawai eksekutif (CEO) baru. Kami akan muktamadkan strategi apabila CEO, ahli lembaga pengarah dan pengurusan bermesyuarat untuk merangka pelan masa depan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas bersama-sama melancarkan Dana Transformasi Pendigitalan Industri bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Lim menyuarakan keyakinan beliau terhadap kepimpinan Zaiton dan keupayaannya untuk memulihkan bank berkenaan.

“Kami yakin BPMB akan pulih tidak lama lagi,” katanya.
Bank itu didakwa memberi pinjaman kepada pihak yang ada kaitan dengan politik selain prosedur pinjamannya yang lemah.