Tuduhan kes rasuah Lim berbeza daripada kes banglo, kata pendakwaraya

Tuduhan kes rasuah Lim berbeza daripada kes banglo, kata pendakwaraya

Pendakwaraya kata pertuduhan baharu terhadap Lim Guan Eng dan Phang Li Koon.

Lim Guan Eng n Phang Li Khoon
Lim Guan Eng dituduh salah guna kuasa, didakwa memastikan syarikat yang dikaitkan dengan Phang Li Koon mendapat kelulusan.
PUTRAJAYA:
Jabatan Peguam Negara menegaskan pertuduhan rasuah yang sedang dihadapi bekas Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dan seorang ahli perniagaan adalah “berasingan dan berbeza” daripada kes rasuah mereka pada 2016, di mana kedua-duanya dibebaskan.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul beritahu Mahkamah Rayuan bahawa hak Lim dan Phang Li Koon tidak dilanggar, memandangkan pertuduhan semasa adalah hasil “siasatan lanjut” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembebasan mereka pada 2018.

Dalam kes terdahulu, Lim dan Phang berhadapan pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo, yang didakwa bawah harga pasaran, kira-kira 10 tahun lalu. Mereka dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Pada Ogos 2020, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa, didakwa kerana memastikan sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Phang mendapat kelulusan untuk membina sebuah asrama bagi pekerja asing bernilai RM11.6 million. Phang pula dituduh bersubahat dengan Lim dalam melakukan kesalahan tersebut.

Lim dan Phang sedang merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan membatalkan pertuduhan ke atas mereka, selepas Hakim Rofiah Mohamad memutuskan pada 3 Mei 2024 bahawa mereka tidak mengalami ‘double jeopardy’, memandangkan kes terdahulu tidak membawa kepada sebarang penentuan.

“Mahkamah membenarkan pembebasan mereka (dalam kes terdahulu) selepas mereka mengemukakan representasi, di mana kami memaklumkan kepada mahkamah bahawa kami tidak berniat untuk meneruskan pendakwaan,” kata Ashrof, menambah pihak pendakwaan tidak merayu terhadap pembebasan tersebut.

“Mahkamah tidak membuat dapatan fakta berdasarkan bukti yang dikemukakan semasa perbicaraan (yang berlangsung dari 2016 hingga 2018). Oleh itu, tidak wujud isu ‘double jeopardy’ (didakwa atas kesalahan yang sama dua kali) seperti yang didakwa.”

Ketika ditanya Hakim Noorin Baharuddin sama ada dokumen dalam kes 2016 dan 2020 adalah serupa, Ashrof mengakui kebanyakan dokumen dalam kes pertama adalah relevan untuk kes kedua.

“(Bagaimanapun) terdapat dokumen tambahan yang akan kami serahkan sekiranya perbicaraan bermula,” katanya.

V Sithambaram yang mewakili Phang selaku peguam berkata pihak pendakwaan tidak boleh mengemukakan pertuduhan secara ‘berperingkat’, sama ada terhadap Lim atau anak guamnya.

Beliau berkata pihak pendakwaan dilarang oleh undang-undang daripada mendakwa Phang dan Lim “berdasarkan bukti yang sama yang telah menyebabkan mereka dibebaskan”.

“Mengapa mereka tidak boleh didakwa pada masa yang sama pada tahun 2016, memandangkan kedua-dua kes mempunyai fakta yang sama,” soal Sithambaram, mempersoalkan sama ada lebih banyak pertuduhan akan menyusul.

RSN Rayer hadir mewakili Lim.

Azman Abdullah, yang mempengerusikan sidang hakim, menyatakan bahawa mahkamah akan meneliti hujah-hujah sebelum buat keputusan. Turut bersidang Radzi Abdul Hassan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.