Sup ketam penawar demam denggi: Fakta atau auta?

Sup ketam penawar demam denggi: Fakta atau auta?

Demam denggi sering dikaitkan dengan platlet darah rendah hingga menyebabkan seseorang itu menjadi lemah dan tidak berdaya

Bila seseorang itu demam denggi sahaja pasti apa yang akan didengar adalah “Makan sup ketam pasti cepat baik”.

Adakah ia satu mitos atau benar-benar mujarab?

Persoalan inilah yang sering bermain di fikiran sesiapa sahaja yang berdepan dengan demam ini.

Disini disediakan penjelasan lebih lanjut mengenai demam denggi.

Apakah itu demam denggi?
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus bawaan nyamuk Aedes aegypti yang sudah dijangkiti.

Umumnya, terdapat empat jenis virus yang boleh mengakibatkan demam denggi iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4.

Penyakit ini adalah sangat berbahaya jika tidak mendapatkan rawatan awal sehingga boleh mendatangkan maut.

Adakah sup ketam memang benar boleh merawat demam denggi?
Di negara kita, terdapat banyak rawatan tradisonal dicadangkan dan ditawarkan bagi mengubati pelbagai jenis penyakit.

Begitu juga dengan demam denggi. Ada yang mempercayai bahawa demam denggi boleh dirawat dengan memakan sup ketam.

Selain itu juga, ada yang mempercayai bahawa jus betik dan minuman isotonik juga dapat membantu meningkatkan platlet dalam darah.

Persoalannya, sejauh manakah kebenaran kenyataan ini?

Menurut Dr. Hafizah Mohamed Haniba yang merupakan Pegawai Perubatan Kanan Perubatan Am Hospital Seri Manjung, ia adalah tidak benar kerana setakat ini tiada kajian saintifik yang membuktikan demam denggi mampu disembuhkan menerusi tiga jenis bahan makanan itu.

Menurut beliau lagi, masih belum wujud apa-apa kaedah atau rawatan khusus sama ada moden atau tradisional untuk merawat penyakit itu.

Penafian mitos ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman yang menjelaskan punca kematian akibat demam denggi bukan disebabkan platlet darah rendah tetapi berpunca daripada kebocoran plasma akibat tiada tekanan dalam salur darah.

Ini kemudiannya akan mengakibatkan tekanan darah rendah dan tidak dapat sampai ke jantung.

Ya, ia hanya sekadar mitos semata-mata

Hakikatnya, sup ketam, jus betik, minuman isotonik atau apa-apa juga bahan makanan lain bukan satu solusi untuk merawat demam denggi.

Menurut Dr. Mohammad Omar yang merupakan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, bahan-bahan makanan ini hanya sekadar satu bentuk makanan tambahan dan bukan pengganti kepada rawatan yang sewajarnya.

Meskipun terdapat beberapa kajian yang mengatakan ada bahan makanan yang boleh merawat demam denggi, ia hanyalah sekadar mitos semata-mata.

Sebaiknya, segera berjumpa doktor jika terdapat sebarang tanda anda dijangkiti demam denggi.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Kumpulan Hello Health tidak menyediakan nasihat, diagnosis atau rawatan perubatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.