Hannah Yeoh pertahan sumbangan kepada Sisters in Islam

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh mempertahankan keputusan memberikan sumbangan daripada peruntukannya kepada Sisters in Islam (SIS), selepas keputusan itu dipertikaikan PAS.

Hannah berkata sumbangan RM20,000 itu untuk membantu klinik bantuan guaman Telenisa yang disediakan SIS sejak 2003, yang memberi khidmat nasihat undang-undang keluarga Islam dan jenayah syariah kepada wanita beragama Islam dan pihak yang memerlukan.

“Saya tidak pernah menjangka hasrat untuk membantu wanita Muslim boleh dijadikan isu. Sepatutnya soal wanita Muslim teraniaya yang menjadi pokok perbincangan dan bukannya isu yang tidak membina seperti ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan sumbangannya bertujuan memberi sokongan kepada kerja-kerja pengumpulan data dan statistik yang boleh membantu merangka pelan dan intervensi dalam usaha menyelesaikan masalah sosial negara.

Hannah berkata buku statistik Telenisa 2018 yang dilancarkan sempena Hari Wanita Sedunia baru-baru ini mengumpul kes-kes perceraian wanita beragama Islam, termasuk isu isteri dan anak-anak yang menghadapi masalah kewangan renteran daripada kegagalan perkahwinan.

Buku tersebut diberikan secara percuma dan setakat ini lebih 8,400 wanita dan lelaki memanfaatkan laporan tersebut. “Hanya kerajaan yang benar-benar prihatin sahaja akan menitikberatkan data dan statistik bagi menyelesaikan masalah,” katanya.

“Sebagai seorang timbalan menteri menjaga portfolio melibatkan keluarga, kanak-kanak dan wanita termasuklah wanita Islam, peruntukan kepada mereka yang mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja membela hak wanita Muslim adalah sangat penting.”

Hannah menyeru PAS, selaku sebuah parti Islam, supaya lebih objektif dan prihatin dengan hasil statistik dan dapatan Telenisa.

“Semua mereka yang teraniaya dan dizalimi berhak dan memerlukan pembelaan semua pihak dan merupakan tanggungjawab dan hasrat saya untuk membantu sebaik mungkin,” katanya.

Sementara itu, PAS Selangor mendesak Hannah menarik balik keputusan membantu Telenisa dan memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan “seluruh umat Islam”.

Pesuruhjaya PAS Negeri, Sallehen Mukhyi berkata keputusan timbalan menteri itu mencabar fatwa di Selangor yang mengisytiharkan SIS sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Tindakan timbalan menteri dari parti DAP ini mencabar fatwa dikeluarkan Mais. Sumbangan ini juga secara tidak langsung menyanggahi institusi agama Islam yang berada dibawah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya dalam kenyataan.