Aktivis gesa hukuman berat pihak rosakkan alam sekitar

Aktivis gesa hukuman berat pihak rosakkan alam sekitar

Pusat Alam Sekitar Global berkata denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum 5 tahun tidak cukup untuk tampung kerosakan alam sekitar.

Aktivis alam sekitar berkata Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 tidak cukup untuk menangani isu alam sekitar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis alam sekitar menggesa kerajaan meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mengatakan ia tidak cukup untuk menghukum pesalah dan perlunya penguatkuasaan yang lebih baik terhadap mereka yang menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Pengarah Pusat Alam Sekitar Global (GEC), Faizal Parish berkata penalti yang dikenakan kini di bawah akta tersebut – denda maksimum RM500,000 dan penjara maksimum 5 tahun – tidak mencukupi.

“RM500,000 mungkin terdengar seperti banyak, tetapi kerosakan alam sekitar atau pencemaran boleh menjejaskan berjuta-juta ringgit.

“Ia juga memberi kesan kepada kehidupan orang ramai,” katanya kepada FMT.

Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim baru-baru ini berkata ia tidak mempunyai rancangan untuk meminda akta tersebut untuk mengenakan hukuman yang lebih berat.

Timbalan menterinya, Isnaraissah Munirah Majilis berkata akta sedia ada mencukupi untuk menghukum pesalah, tetapi tidak menafikan perlunya penguatkuasaan undang-undang yang lebih baik.

Faizal mencadangkan penalti lain turut dikenakan, termasuk kos memulihkan kerosakan dan bayaran pampasan kepada pihak yang terlibat.

Beliau berkata mahkamah juga menjadi masalah kerana mereka hanya mengenakan denda minimum untuk kesalahan alam sekitar. Beliau membandingkannya dengan hukuman berat yang dikenakan negara luar seperti Indonesia dan China.

Beliau menambah, masalah lain adalah sumber yang tidak mencukupi untuk memantau dan mengesan pelanggaran undang-undang oleh agensi penguatkuasa.

Pengurus program hutan dan pantai GEC, Nagarajan Rengasamy bersetuju akta sekarang tidak mencukupi untuk menangani isu semasa.

“Masalah yang berkaitan dengan alam sekitar semakin kompleks. Malaysia mempunyai peraturan alam sekitar dan penguatkuasaan undang-undang tetapi tanpa ketegasan dan penguatkuasaan, ia akan memburukkan lagi krisis alam sekitar kita.”

Sementara itu, bekas presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia, Maketab Mohamed berkata kerajaan perlu meminda Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan dan Effluen-effluen Perindustrian) di bawah akta tersebut.

Beliau berkata pendakwaan terhadap kilang yang tidak mematuhinya mestilah berdasarkan beban pencemaran.

“Pada masa ini kita hanya meneka jumlah beban yang dilepaskan ke sungai-sungai kita, terutamanya sungai-sungai di bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.