Kes buang sisa toksik: Pemilik syarikat tayar kitar semula mungkin didakwa esok

Kes buang sisa toksik: Pemilik syarikat tayar kitar semula mungkin didakwa esok

Menteri tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim berkata, kertas siasatan sudah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya pagi tadi untuk penilaian dan pertimbangan.

Pemilik syarikat tayar kitar semula itu boleh dipenjara maksimum 5 tahun dan denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, jika sabit kesalahan.
JOHOR BAHRU:
Pemilik syarikat tayar kitar semula antara 3 suspek ditahan Isnin lalu yang dipercayai membuang sisa toksik ke Sungai Kim Kim baru-baru ini, dijangka didakwa di mahkamah seawal-awalnya esok.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kertas siasatan sudah siap dan dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya pagi tadi untuk mendapatkan penilaian dan pertimbangan untuk mendakwa.

“Kita harap dapat dakwa (suspek) esok di mahkamah. Jika sabit kesalahan, dia akan dipenjara maksimum 5 tahun dan juga denda RM500,000 di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya di Menara Aqabah, Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, hari ini.

Beliau turut menghubungi Peguam Negara, Tommy Thomas mengenai kemungkinan mengenakan beberapa tuduhan ke atas suspek memandangkan kesalahan itu adalah serius dan hukuman tidak mencukupi setakat ini.

“Memandangkan Jabatan Alam Sekitar sudah siap siasatan, kita akan dakwa dahulu, tetapi ia tidak dihadkan kepada undang-undang ini sahaja, dia boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan mungkin akta lain,” kata Yeo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.