
Perdana menteri berkata, kerajaan mahu meratifikasi perjanjian itu, tetapi ia perlu tertakluk kepada syarat dikehendaki Malaysia.
“Kita nak meratifikasi, tapi ada syarat tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rom yang kita tak boleh lakukan di sini.
“Kita tidak boleh menerima perkara lucu dalam Statut Rom, sama seperti negara lain membenarkan perkahwinan sejenis. Kami hanya boleh menerima perkara yang baik,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Sayangi Sawitku di Pulau Carey, hari ini.
Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata, kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan dengan menandatangani Statut Rom yang akan menjejaskan hak orang Melayu, institusi diraja dan kesucian Islam di negara ini.
Baru-baru ini, Menteri Luar, Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, Kabinet bersetuju menandatangani Statut Rom, selepas berpuas hati kedudukan dan kekebalan Yang di-Pertuan Agong kekal terpelihara.
Katanya, kebimbangan sesetengah pihak mengenai Agong akan terdedah kepada pendakwaan jenayah di ICC merupakan tanggapan salah dan dibuat tanpa kefahaman asas dalam perundangan atau perlembagaan.
ICC ditubuhkan pada 2002 dan ditadbir mengikut Statut Rom yang berfungsi sebagai pelengkap undang-undang sedia ada di Negara Pihak untuk mendakwa individu melakukan jenayah antarabangsa dalam Artikel 5 Statut Rom, iaitu pembunuhan etnik, jenayah terhadap kemanusiaan, jenayah perang dan pencerobohan.
Sebanyak 124 negara menjadi Negara Pihak kepada Statut Rom sehingga 4 Mac lalu.