
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Azis Jamman memberitahu Dewan Rakyat bahawa kelahiran di Malaysia tidak menyebabkan seseorang memperoleh kewarganegaraan secara automatik.
“Kementerian melalui Jabatan Pendaftaran Negara hanya merekodkan status seseorang individu sebagai warganegara atau bukan warganegara berdasarkan status perkahwinan dan taraf kewarganegaraan ibu bapa,” katanya.
“Sekiranya ibu bapa kepada kanak-kanak tersebut mendaftar lewat perkahwinan mereka selepas kelahiran kanak-kanak tersebut dan ibunya bukan warganegara, maka permohonan kewarganegaran kanak-kanak berkenaan boleh dikemukakan kepada JPN bawah Perkara 15A.”
Azis merujuk kepada Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerajaan mendaftarkan mana-mana orang bawah usia 21 sebagai warganegara jika memenuhi syarat.
Beliau menjawab Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan yang ibunya tidak mendaftarkan perkahwinan dengan orang tempatan.
Ngeh juga menyoal mereka kerajaan tidak rela mendaftarkan kanak-kanak itu sebagai rakyat Malaysia.
Azis bagaimanapun menyeru ibu bapa kanak-kanak berkenaan supaya menjadi lebih bertanggungjawab dan mendaftarkan perkahwinan mereka.
Beliau juga mengingatkan ibu bapa atau penjaga mesti menguruskan dokumen-dokumen kanak-kanak berkenaan bagi mengelakkan masalah keberadaan yang tidak sah.
“Menjadi tanggungjawab sepenuhnya ibu bapa atau penjaga untuk menguruskan dokumen pengenalan diri dan dokumen perjalanan dengan negara asal kanak-kanak bertaraf bukan warganegara sebelum kanak-kanak tersebut berumur 21 ke bawah.”