PAC cukup korum walau tanpa 3 pembangkang, kata timbalan pengerusi

PAC cukup korum walau tanpa 3 pembangkang, kata timbalan pengerusi

Timbalan Pengerusi Wong Kah Woh berkata pihaknya belum menerima surat peletakan keanggotaan daripada 3 wakil rakyat pembangkang.

KUALA LUMPUR:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) boleh meneruskan mesyuarat walaupun tanpa 3 ahli Parlimen pembangkang, kata Timbalan Pengerusi Wong Kah Woh.

“PAC masih ada 9 orang ahli lagi. Ini sudah capai korum untuk kita boleh meneruskan mesyuarat,” katanya sewaktu ditemui di lobi Parlimen hari ini.

“Dalam masa 2 minggu yang akan datang, jadual prosiding kita sudah penuh kes yang tidak sama. Saya sudah berbincang dengan pengerusi PAC Ronald, kita akan teruskan siasatan yang belum habis.”

Sementara itu, Wong berkata pihaknya belum menerima surat peletakan keanggotaan daripada Ahli Parlimen Parit Sulong, Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Jasin, Ahmad Hamzah dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan.

Wong berharap PAC dapat terus memainkan peranan semak dan imbang kepada keputusan kerajaan.

Tiga wakil rakyat berkenaan mengumumkan peletakan keanggotaan mereka serta-merta pada sidang media di Parlimen pada Isnin, kerana tidak berpuas hati Ronald Kiandee, yang menyertai PPBM baru-baru ini, kekal sebagai pengerusi.

Sebelum ini, Ronald dilantik ke jawatan itu kerana dia wakil rakyat pembangkang.

Selepas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar meletakkan keanggotaannya dalam PAC, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Ronald akan kekal sebagai pengerusi PAC sehingga penggantinya ditemui.

Hanya perlu 4 orang

Sementara itu, Ronald Kiandee memberitahu pemberita bahawa peraturan menetapkan PAC hanya perlu 4 anggota termasuk pengerusi majlis untuk menjalankan mesyuarat.

“Mana boleh persoalkan tidak adil,” katanya, dan menambah mesyuarat PAC selalunya “memang tidak penuh”.

Ronald berkata ketika ini terdapat 2 kes yang sedang disiasat PAC dan dijangka selesai “dalam masa terdekat”.

Kes tersebut berkaitan isu bayaran balik GST dan sistem permit masuk kenderaan.

“Ia dalam peringkat yang hampir selesai,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.