
Timbalan Menteri Pendidikan,Wong Kah Woh, berkata arahan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga pengumuman seterusnya akan dibuat kemudian.
“Ini tindakan segera bagi memastikan bahawa ibu bapa kepada anak-anak kita di IPG (berada dalam keadaan) tenang dan juga mendapat respons segera daripada pihak KPM,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bas baharu kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lepas, dua pelajar IPG Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas pada kira-kira 7.30 malam semasa melakukan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka dekat Sungai Petani.
Dalam pada itu, Wong berkata pihak kementerian menyiasat kes berkenaan dari segala aspek selain menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan secara terperinci.
“Siasatan polis sedang dilaksanakan dan siasatan dalaman (KPM) juga sedang dilakukan. Kita akan serahkan kepada polis untuk siasat, tetapi siasatan dalaman kita akan dibuat dari semua sudut dan daripada semua isu yang berbangkit.
“Saya juga telah pergi ke IPG Perlis bertemu dengan pelajar-pelajar yang terlibat dan mendengar (kejadian lemas) daripada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wong berkata penyerahan bas baharu berkapasiti 40 tempat duduk kepada SMK Raja Permaisuri Bainun itu ialah sebahagian daripada usaha KPM selepas meneliti keperluan semasa pihak sekolah yang sebelum ini menggunakan bas lama yang berusia lebih tiga dekad.
Pada majlis berkenaan, Wong turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menambah baik surau sekolah berkenaan seperti yang dimohon pihak pentadbiran.