IPGM siasat kes buli tular babit pelatih

IPGM siasat kes buli tular babit pelatih

Antara tindakan tegas yang boleh diambil terhadap pelatih didapati bersalah termasuk dibuang daripada IPG.

IPGM berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku buli.
PETALING JAYA:
Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) memaklumkan pihaknya sedang menyiasat kejadian buli yang dilaporkan berlaku di sebuah institut pendidikan guru (IPG) di Sarawak, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas.

IPGM berkata, antara tindakan tegas yang boleh diambil terhadap pelatih didapati bersalah termasuk hukuman tatatertib membuang individu terlibat daripada IPG berkenaan bagi menunjukkan pihaknya tidak akan berkompromi dengan salah laku buli.

“Kejadian ini sedang berada dalam siasatan pihak IPGM,” katanya dalam kenyataan.

“IPGM tidak berkompromi dengan salah laku buli. Pelatih guru perlu berdisiplin serta menunjukkan akhlak dan sahsiah yang baik sebagai bakal pendidik.”

Terdahulu, tular di media sosial kejadian buli didakwa berlaku pada awal pagi Jumaat lepas, membabitkan sekumpulan penuntut senior terhadap junior lelaki sesi 2025/2030 di sebuah IPG di Sarawak.

Kumpulan penuntut senior itu didakwa mengumpulkan semua junior lelaki sebelum melakukan pelbagai bentuk penghinaan, selain menggunakan kata-kata kesat dan melakukan tindakan tidak bermoral terhadap mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.