Parti Ummah tembusi kubu kuat Demokrat di selatan Thailand

Parti Ummah tembusi kubu kuat Demokrat di selatan Thailand

Parti Prachachart menguasai 6 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan di Pattani, Narathiwat dan Yala.

Wan Muhammad Nor Matha (berdiri) berucap selepas Parti Prachachart menang di 3 wilayah bergolak di selatan Thailand. (Gambar Facebook)
BANGKOK:
Kejayaan Parti Prachachart menembusi kubu kuat Parti Demokrat di 3 wilayah bergolak di selatan Thailand pada pilihan raya umum (PRU) negara itu Ahad lepas adalah disebabkan rakyat mahukan perubahan.

Ketua Parti Prachachart, Wan Muhammad Nor Matha berkata penduduk di wilayah terbabit mengimpikan keamanan dan pembangunan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

“Parti Prachachart merupakan sebuah parti yang rapat dengan penduduk di selatan Thailand lebih-lebih lagi ketua partinya penduduk tempatan. Ini antara sebab penduduk menyokong parti ini walaupun ia masih baru,” katanya kepada Bernama.

Pada PRU itu, parti berkenaan menguasai 6 daripada 11 kerusi yang dipertandingkan di Pattani, Narathiwat dan Yala sementara Demokrat yang sebelum ini memenangi 9 kerusi hanya berjaya mempertahankan 1 kerusi di Pattani.

Parti pro-junta Palang Pracharath pula menang 3 kerusi dan baki 1 lagi milik Bhumjaithai.

Parti Prachachart yang juga dikenali sebagai Parti Ummah ditubuhkan pada September tahun lepas.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Nor yang bekas timbalan perdana menteri Thailand, berkata Parti Prachachart merupakan sebuah parti politik “untuk rakyat semua kaum dan agama” dan ia akan menepati janji-janji pilihan raya.

“Keselamatan dan ekonomi merupakan 2 perkara penting yang perlu segera dilaksanakan kerana ia adalah sesuatu yang diimpikan pengundi selama ini.

“Penduduk tempatan menaruh harapan tinggi agar kerajaan baru dapat membawa perubahan,” katanya.

Parti Prachachart merupakan antara 6 parti yang menyertai Pheu Thai dan gabungan ini mendakwa mempunyai sekurang-kurangya 255 kerusi bagi membentuk kerajaan Thailand yang baru hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.