Mustapha Sakmud pengerusi baharu PH Sabah

Mustapha Sakmud pengerusi baharu PH Sabah

Keputusan dibuat susulan tindakan Upko keluar gabungan.

Mustapha Sakmud
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud diberi kepercayaan pimpin PH Sabah sebagai pengerusi.
PETALING JAYA:
Mustapha Sakmud dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah susulan penstrukturan semula kepimpinan selepas Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) bertindak meninggalkan gabungan itu.

Mustapha yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bersama parti-parti komponen iaitu DAP, Amanah dan PKR.

“Kita baru bermesyuarat bersama rakan-rakan parti komponen dan telah membuat keputusan untuk mengisi jawatan yang kosong selepas Upk membuat keputusan untuk keluar,” katanya dalam sidang akhbar hari ini, lapor Sinar Harian.

Menurutnya, mesyuarat turut bersetuju melantik Abdul Razak Jamil sebagai setiausaha agung dan Zaidi Jatil daripada PKR sebagai ketua Pemuda.

Sementara itu, Ketua Wanita Jenny Lasimbang serta timbalan pengerusi kekal dalam kalangan ketua-ketua parti komponen.

Mustapha berkata, penstrukturan semula itu turut menjadi sebahagian persediaan menghadapi PRU yang dijangka berlangsung tahun depan.

“Kita turut membincangkan apa yang berlaku pada PRN lalu dan itu antara sebab kita rombak serta susun semula kepimpinan untuk berdepan PRU akan datang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH Sabah Phoong Jin Zhe berkata, sesi ‘post-mortem’ telah diadakan bagi meneliti isu-isu utama yang dibangkitkan rakyat pada pilihan raya lalu.

“Kita ada mengadakan perbincangan post-mortem untuk melihat isu penting yang diharapkan rakyat Sabah, antaranya tuntutan 40%,” katanya.

“Kita meletakkan keyakinan kepada menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Sabah dan Sarawak untuk mencari penyelesaian terhadap perkara ini.”

Beliau menambah, PH Sabah berharap kerajaan persekutuan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat melihat perkara ini sebagai aspirasi yang menjadi keutamaan rakyat Sabah, justeru turut harus diutamakan pada peringkat persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.