PH tak perlu bergantung masalah parti lain hadapi pilihan raya, kata pemimpin

PH tak perlu bergantung masalah parti lain hadapi pilihan raya, kata pemimpin

Pengarah Strategi PKR Melaka Mohd Radzmin Roslan berkata asas kekuatan PH adalah kerja di lapangan dan kesatuan dalam parti.

pakatan harapan bendera
Pengarah Strategi PKR Melaka Mohd Radzmin Roslan berkata tumpuan utama ketika ini ialah memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen PH.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) tidak perlu bergantung kepada kelemahan atau masalah dalaman parti lain sebagai sandaran utama dalam menghadapi PRN dan PRU akan datang.

Pengarah Strategi PKR Melaka, Mohd Radzmin Roslan, berkata walaupun situasi melanda parti lawan mungkin memberi sedikit kelebihan dari segi persepsi dan sokongan, kejayaan sebenar tetap bergantung kepada kekuatan dalaman parti serta keupayaan menawarkan khidmat terbaik kepada rakyat.

“Perpecahan atau masalah pihak lain mungkin memberi sedikit impak, tetapi kita tidak boleh bergantung kepada perkara itu. Asas kekuatan kita adalah kerja di lapangan dan kesatuan dalam parti.

“Jadi kita perlu turun padang, dengar suara akar umbi dan fahami kehendak rakyat. Daripada itu, kita bina keyakinan untuk peroleh undi,” katanya menurut Bernama.

Beliau ditemui dalam majlis apresiasi bersama media Melaka di Klebang.

Radzmin berkata, tumpuan utama ketika ini ialah memperkukuh perpaduan dalam kalangan parti komponen PH, memperkemas jentera pilihan raya serta memastikan rundingan kerusi dilaksanakan secara matang dan berhemah di peringkat pucuk pimpinan.

Mengulas strategi kempen, beliau yang juga setiausaha cabang PKR Tangga Batu berkata PH akan memberi penekanan kepada pendekatan berasaskan isu rakyat, khususnya melibatkan kos sara hidup, peluang pekerjaan serta kebajikan komuniti setempat.

Katanya, selain itu pengundi muda dan pengundi atas pagar dikenal pasti sebagai kumpulan sasaran utama dalam strategi menghadapi PRN dan PRU akan datang.

“Pengundi muda termasuk kelompok Undi 18, adalah segmen penting. Kita perlu dekati mereka dengan pendekatan lebih segar dan mesej jelas. Begitu juga pengundi atas pagar yang menilai berdasarkan prestasi dan keikhlasan kita bekerja,” katanya.

Penggal lima tahun DUN Melaka akan berakhir pada Disember ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.