
Bercakap kepada media hari ini, Presiden Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Henrynus Amin berkata perdebatan awam hanyalah sia-sia tanpa draf itu.
“Kami masih tidak tahu butiran pindaan perlembagaan yang dicadangkan. Sekiranya benar DAP diberi tugas mencadangkan pindaan perlembagaan di Parlimen seperti yang didakwa oleh seorang Ahli Parlimen DAP, di mana butirannya?” katanya.
Beliau berkata Anak Negeri mempersoalkan tujuan DAP mengambil kredit tetapi pada masa yang sama mengeluarkan kenyataan tanpa butiran lanjut.
Amin menggesa PH tidak menggunakan taktik Barisan Nasional yang mengeluarkan draf beberapa jam sebelum bacaan pertama.
Anak Negeri berkata taktik itu menyukarkan ahli-ahli Parlimen merujuk draf itu kepada penyokong masing-masing sebelum membuat keputusan.
“Anak Negeri pada dasarnya menyokong inisiatif kerajaan PH untuk memulihkan status perlembagaan Sabah dan Sarawak sama dengan Tanah Melayu.
“Tetapi kami risau adanya agenda rahsia di mana kerajaan persekutuan akan dibolehkan untuk tidak memenuhi kewajipan kewangannya kepada Sabah dan Sarawak bawah Perjanjian Malaysia 1983 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Ketiadaan perdebatan umum mengenai butiran pindaan yang dicadangkan dan kurangnya komen daripada pemimpin persekutuan mengenai tanggungjawab persekutuan ke atas hak-hak Sabah dan Sarawak adalah sangat membingungkan dan mengecewakan,” katanya.
Beliau juga curiga adanya kemungkinan untuk memaksa pembangkang menolak rang undang-undang tersebut, dan kemudiannya menyalahkan semula pembangkang kerana menolak rang undang-undang itu.
Selepas 55 tahun, beliau berkata rakyat Sabah khuatir dengan pemimpin-pemimpin persekutuan yang dianggap pernah memungkiri janji dan memberi harapan palsu dalam soal MA63 dan hak kewangan Sabah bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Pemimpin Sabah semasa pembentukan Malaysia mungkin telah merasa ditipu ketika menandatangani Perjanjian Malaysia dan sentimen tersebut semakin meningkat dalam kalangan orang muda Sabah dan Sarawak.”