Calon bebas sepit mulut ketika berkempen, bantah calon tak dibenar bercakap

Aksi Malar ketika menunjuk perasaan di pasar malam Rantau.

SEREMBAN: Calon bebas, Malar Rajaram menyepit mulutnya dengan sepit baju ketika berkempen di pasar malam pekan Rantau, sebagai tanda bantahan kepada kekangan yang dikenakan parti politik ke atas calon-calon pilihan raya.

Malar dilihat menunjuk perasaan sambil mengedar kad kepada para pengundi yang sedang membeli-belah. Bekas penyampai radio di Kanada ini memberitahu gimik ini hanya untuk 2 hari pertama kempen pilihan raya kecil DUN Rantau.

“Saya menunjuk perasaan kerana calon Pakatan Harapan di Semenyih dan calon Barisan Nasional di Cameron Highlands tidak dibenarkan bercakap semasa kempen,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengedar kad.

“Calon harus bercakap dan buka mulut agar pengundi tahu bahasa dan gerak-geri calon. Saya akan bentang manifesto selepas tunjuk perasaan tamat malam esok.”

Malar juga mempunyai cara lain untuk menunjuk perasaan sekiranya sepit baju itu menyebabkan bibirnya sakit.

“Saya pakai pita sahaja bila rasa mulut sakit,” katanya.

Malar memerlukan RM10,000 untuk kempennya dan memohon sumbangan orang ramai untuk membantu membiaya kempen 13 hari sebelum hari mengundi pada 13 April ini.

“Saya akan rujuk kepada SPR apa harus saya buat dengan lebihan sumbangan, dan saya juga akan dedah pada orang ramai jumlah kutipan,”

Ditanya apakah sebab yang mendorongnya untuk bertanding mencabar calon pilihan Mohamad Hasan dari Barisan Nasional dan S Streram dari Pakatan Harapan, Malar berkata dia rasa terpanggil apabila seorang ahli politik menggear pemimpin bukan Melayu “penumpang” semasa berkempen di Semenyih.

“Saya bukan penumpang, saya tinggal di sini, ayah saya dilahirkan di sini, moyang saya mati di sini,” katanya, dan menegaskan beliau adalah anak jati Malaysia.