
Dalam kenyataan, inisiatif itu diambil memandangkan sambutan amat menggalakkan peminjam di bawah Kempen Lestari Pendidikan.
Katanya, kempen itu bertujuan memberi ruang dan peluang kepada peminjam yang mempunyai tunggakan untuk berunding pelan pembayaran mengikut kemampuan kewangan.
“Peminjam yang mempunyai tunggakan pinjaman boleh membuat bayaran pendahuluan 20% daripada jumlah tunggakan atau sekurang-kurangnya RM500, mana yang lebih tinggi dan memohon rundingan bayaran balik melalui aplikasi web myPTPTN.
“Melalui rundingan ini, peminjam boleh menstrukturkan semula pinjaman, melakukan pertukaran ujrah atau menggabungkan pinjaman mereka,” katanya.
PTPTN juga merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua peminjam yang telah menunaikan tanggungjawab membuat bayaran balik pinjaman.
“PTPTN turut menyeru semua peminjam agar melihat bayaran balik bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu amanah dan tanggungjawab bersama demi kelangsungan pendidikan tinggi negara.”
Kempen Lestari Pendidikan telah bermula pada 15 Okt 2025 dan sepatutnya berakhir pada 15 Dis 2025. Untuk maklumat lanjut layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my.