
Syarikat yang suatu ketika dulu menjadi kebanggaan korporat Sarawak terbabit pernah dianggap sebagai simbol pertumbuhan ekonomi negeri itu.
Selepas disenaraikan pada 2010 dan mengambil alih dua pesaing — Universal Cable (M) Bhd serta Leader Cable Industry Bhd — Sarawak Cable muncul sebagai pengeluar kabel elektrik terbesar negara dengan hasil tahunan melebihi RM1.2 bilion.
Ketika itu masa depannya kelihatan cerah yang bagaimanapun berubah susulan siri kesilapan pengurusan, keputusan tidak tepat dan kegagalan melaksanakan projek.
Untuk tempoh 18 bulan sehingga 30 Nov 2024, Sarawak Cable mencatatkan kerugian bersih RM336.3 juta daripada pendapatan RM358.8 juta — sebahagian besar akibat pelupusan aset serta beban faedah terkumpul bertahun-tahun.
Paling ketara kejatuhan syarikat itu sebenarnya telah lama disertai pelbagai tanda bahaya yang tidak diambil serius oleh pihak pengurusan.
Audit tidak beri pengesahan
Tanda paling jelas ialah apabila juruaudit luar enggan mengesahkan akaun syarikat selama tiga tahun berturut-turut bermula tahun kewangan 2022.
Laporan audit untuk tahun kewangan 2022 hingga 2024 menyatakan keraguan serius terhadap kemampuan syarikat untuk terus beroperasi.
Penafian pengesahan oleh Ernst & Young bagi tempoh 17 bulan sehingga Mei 2022 menyebabkan Sarawak Cable diklasifikasikan sebagai syarikat bermasalah di bawah Nota Amalan 17 (PN17).
Pada ketika itu, syarikat sebenarnya sudah dianggap hampir muflis.
Juruaudit seterusnya, Baker Tilly Monteiro Heng, turut menolak memberi pengesahan untuk tahun kewangan 2023 dan 2024 kerana ketidakpastian ketara dan kekurangan bukti audit.
Penafian audit berulang kali seperti ini lazimnya menunjukkan kawalan kewangan yang lemah dan masalah lebih besar di peringkat pengurusan.
Pelupusan aset, kerugian luar biasa
Penyata kewangan Sarawak Cable turut menunjukkan banyak kerugian sekali gus yang menggambarkan kemungkinan angka terdahulu terlebih dinyatakan atau projek besar gagal.
Antaranya, pelupusan RM58 juta pada suku keempat tahun kewangan 2019 bagi sebuah helikopter Super Puma yang dibeli tiga tahun sebelum itu dengan harga sekitar RM100 juta — gambaran jelas percubaan gagal syarikat memasuki bidang penerbangan.
Kepelbagaian perniagaan kepada penyelesaian tenaga yang lebih luas juga membawa padah.
Syarikat menanggung kerugian RM53 juta ketika menjual loji mini hidro di Sumatera, Indonesia yang mengalami kelewatan serius dan kos melambung.
Loji itu hanya beroperasi pada 2021, lebih sedekad selepas perjanjian pembelian kuasa ditandatangani.
Pelaburan itu mengikat modal syarikat bertahun-tahun sebelum terpaksa dijual pada harga kerugian.
Krisis tunai, gagal bayar hutang
Paras hutang syarikat kekal tinggi iaitu lebih dua kali ganda daripada ekuitinya pada tahun kewangan 2018, ditambah pula aliran tunai lemah, menunjukkan ia terlalu bergantung kepada pinjaman.
Akhirnya, Sarawak Cable gagal melunaskan beberapa hutangnya sehingga ada pemiutang memfailkan petisyen untuk melupuskan anak-anak syarikatnya.
Setakat 30 Nov 2023, jumlah pinjaman dan pembiayaannya mencecah RM393.77 juta. Syarikat dan dua anak syarikatnya turut disaman bank termasuk OCBC melibatkan tuntutan RM95.5 juta.
Syarikat juga menggunakan pembiayaan bank jangka pendek untuk menampung operasi dua anak syarikat utama itu, tindakan dianggap berisiko tinggi dalam keadaan pendapatan semakin berkurangan.
Gagal siap pelan pemulihan
Selepas jatuh di bawah PN17, Sarawak Cable beberapa kali gagal menghantar pelan pemulihan kewangan kepada Bursa Malaysia.
Walaupun diberi tiga lanjutan masa sehingga Mei 2025, tiada perkembangan bermakna dilaporkan.
Akibatnya, Bursa menggantung dagangan saham syarikat pada 28 Mei 2025 dan kemudian menyahsenarai syarikat pada 15 Julai.
Kegagalan mematuhi keperluan penyenaraian serta ketidakmampuan menyediakan pelan pemulihan selama lebih dua tahun jelas menunjukkan masalah serius dalam tadbir urus syarikat.
Pengunduran pengurusan, kemelut dalaman
Ketika syarikat dilanda krisis, peletakan jawatan eksekutif kanan sering menggambarkan ketegangan dalaman atau hilangnya keyakinan terhadap hala tuju syarikat.
Pada 2024, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Russell Walter Boyd dan Ketua Pegawai Kewangan Teoh Wen Jing meletak jawatan pada Julai, ketika keadaan kewangan syarikat semakin meruncing. Boyd baru menyertai syarikat pada April tahun sebelumnya.
Peletakan jawatan ini berlaku sejurus selepas Mahkamah Tinggi melantik seorang pengurus kehakiman interim pada 9 Julai 2024 berikutan permohonan firma guaman syarikat yang belum dibayar yuran.
Permohonan itu didasari pengurusan hutang Sarawak Cable, asetnya dalam bahaya dan perlu diselia pengurus kehakiman supaya dapat diselamatkan.
Pelantikan itu menamatkan kuasa pengarah dalam mengurus syarikat.
Di peringkat lembaga pula, perubahan besar berlaku apabila pengerusi lama, Mahmud Abu Bekir Taib, dilantik semula sebagai pengarah berkuat kuasa 28 Okt 2024. Berusia 62 tahun, beliau adalah anak bekas ketua menteri dan yang di-pertua Sarawak, Abdul Taib Mahmud.
Abu Bekir memimpin syarikat sejak 2009 dan pemegang saham terbesar dengan pegangan 18.64%. Sarawak Energy, syarikat milik kerajaan negeri, memegang 13.13%.
Pemegang saham minoriti pula berpendapat pelantikan pengurus kehakiman oleh mahkamah adalah bukti kegagalan tadbir urus, kerana langkah sedemikian hanya diambil apabila pemiutang hilang keyakinan terhadap lembaga sedia ada.
Mereka mendakwa mekanisme kawal selia syarikat tidak berfungsi dan lembaga telah gagal menangani tanda-tanda bahaya yang akhirnya menyebabkan Sarawak Cable tumbang.