Jihad bukan ‘perang’ tetapi ‘perjuangan’ ummah, kata Ismail Sabri

Jihad bukan ‘perang’ tetapi ‘perjuangan’ ummah, kata Ismail Sabri

Jihad yang dimaksudkan ketua pembangkang itu adalah perjuangan untuk ummah dan juga masyarakat bukan Islam.

Ismail Sabri Yaakob berkata Umno masih bersifat ‘sederhana’ kerana sehingga kini masih bekerjasama dengan MCA dan MIC.
KUALA LUMPUR:
Ketua pembangkang, Ismail Sabri Yaakob berkata gabungan Umno dan PAS yang disifatkan sebagai jihad bukan membawa maksud kepada peperangan.

Beliau berkata jihad yang dimaksudkannya adalah perjuangan untuk ummah dan juga masyarakat bukan Islam.

“Jihad itu satu perjuangan untuk golongan seperti nelayan dan petani.

“Penyatuan ummah itu bukan hanya untuk muslim tetapi untuk bukan muslim juga. Menyatupadukan Islam tanpa pinggirkan kaum lain,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Semalam, media melaporkan kerjasama Umno dan PAS merupakan jihad untuk menumbangkan kerajaan anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Ismail dilaporkan berkata kerajaan yang wujud hari ini diperintah oleh bukan Islam di mana parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak adalah DAP.

Ismail bagaimanapun berkata Umno masih bersifat “sederhana” kerana sehingga kini masih bekerjasama dengan MCA dan MIC.

“Misalnya seperti MCA mereka lemah masa ini. Kita bantu mereka untuk mendapatkan sokongan Cina kepada MCA,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.