Redzuan tiada locus standi ulas isu Lynas, kata Fuziah

Fuziah Salleh berkata, Redzuan Md Yusof tidak perlu menyentuh isu Lynas kerana ia tiada kaitan dengan portfolionya sebagai menteri pembangunan usahawan.

KUALA LUMPUR: Perpecahan pendapat dalam kalangan anggota Kabinet berterusan mengenai masa depan Lynas Malaysia, apabila Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh mengingatkan Menteri Pembangunan Usahawan, Redzuan Md Yusof tiada locus standi untuk mengulas isu itu.

“Saya kira biar menteri dan timbalan (menteri) tenaga, sains, teknologi, alam sekitar dan perubahan iklim yang jawab mengenai sisa buangan radioaktif Lynas.

“Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia urus mengenai pelaburan. Tiada benda kaitan dengan menteri pembangunan usahawan,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Beliau merujuk kenyataan Redzuan hari ini, Putrajaya belum membuat keputusan muktamad berhubung penghantaran balik sisa radioaktif Lynas ke Australia, walaupun Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dilaporkan mendakwa sebuah pasukan petugas ditubuhkan kerajaan untuk memudahkan proses itu.

Katanya, Yeo perlu bertanggungjawab terhadap kenyataannya kerana beliau tidak tahu jika kenyataan yang Lynas perlu mengeluarkan sisa buangan radioaktifnya dari Malaysia sebagai syarat memperbaharui lesen, ialah pandangan peribadi Yeo.

Fuziah bersetuju dengan kenyataan Yeo yang Lynas perlu mengeluarkan sisa radioaktifnya dari Malaysia.

“Sekarang dilapor mereka kena hantar sisa itu ke Australia sebelum September. Mereka perlu patuhi syarat jika mahu menyambung lesen operasi.”

Terdahulu, Timbalan Menteri Tenaga, Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis hari ini dilaporkan berkata pasukan petugas yang memantau pengeluaran sisa radioaktif Lynas sedang mengenal pasti instrumen antarabangsa berhubung proses penghantaran keluar sisa ke Australia.

Katanya, ia mengambil kira semua aspek perundangan dan keselamatan bagi menjamin keselamatan orang awan serta alam sekitar.