BN bersama Dr M jika kedudukan PM tergugat, kata Hishammuddin

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional akan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya kedudukannya dalam kerajaan tergugat, kata bekas Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein.

Bekas naib presiden Umno itu berkata ini bagi memastikan Mahathir dapat menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri.

“Sebab itu saya harap (masalah) dalaman sesama mereka dapat diselesaikan supaya isu seperti ‘diktaktor’ diselesaikan.

“Sebab isu seperti itu tidak membantu kita untuk memulihkan ekonomi, stabilkan kerajaan dan dilihat sebagai kerajaan yang diterima baik oleh dunia,” katanya di lobi Parlimen.

Hishammuddin juga berkata, setakat ini beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan menteri-menteri Pakatan Harapan.

Katanya, banyak percanggahan kenyataan antara menteri dan tiada koordinasi menyebabkan orang keliru.

“Pelabur asing nak masuk ke negara kita pun akan fikir 2, 3 kali kerana konsistensi dalam pendirian dasar tidak jelas.

“Itu mesti dibetulkan dan ini ada kaitan dengan apa yang diluah perdana menteri sendiri behubung dengan suntikan keyakinan kepada rakyat dan pelabur, khususnya pelabur asing untuk membantu ekonomi kita yang sekarang ini perlu diberi tumpuan,” katanya.

Pada 25 Mac lalu, Mahathir menjawab kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang kecewa dengan prestasi kerajaan PH.

Secara ringkas, Mahathir berkata beliau juga merasai situasi yang sama.

Dalam wawancaranya bersama akhbar Singapura, The Straits Times, Nurul Izzah meluahkan rasa kecewanya dengan kerajaan PH gagal menggerakkan agenda reformasi seperti sepatutnya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin, yang juga bekas menteri pertahanan berkata, Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) pada kali ini tidak ada perkara baru diumumkan.

Beliau berkata apa yang dihebohkan adalah kereta terbang dan kapal Low Taek Jho.

“Tapi apa yang penting bukan pameran tetapi apa yang nak dibawa dan perancangan kita untuk masa depan,” katanya.