Ismail Sabri enggan tarik balik kenyataan ‘jihad’

Ismail Sabri berkata ada pihak salah faham dalam mentafsir Islam sehingga menggunakan kenyataan jihadnya untuk menakutkan orang bukan Islam.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Ismail Sabri Yaakob enggan menarik balik kenyataan “jihad” berhubung gabungan Umno dan PAS, walaupun digesa pemimpin DAP.

Beliau berkata DAP yang mempunyai prejudis dan persepsi sangat negatif terhadap Islam.

“Apabila PAS kerjasama dengan Umno, kata nak tunjukkan kerajaan taliban, maknanya Islam ini satu agama yang ganas.

“Pemerintahan yang ganas, sebab itu dia banding dengan taliban,” katanya di lobi Parlimen.

Semalam, media melaporkan Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, memberi tempoh 24 jam kepada Ismail untuk menarik balik kenyataannya yang berunsur hasutan dan berniat jahat terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Lim berkata provokasi jihad yang dilaungkan Ismail boleh membawa kepada pertumpahan darah dan orang tidak bersalah menjadi korban gara-gara penipuan yang dilemparkannya terhadap PH yang dituduh anti-Melayu dan anti-Islam.

Ismail berkata beliau sudah menjelaskan jihad yang dimaksudnya bukan untuk berperang sebaliknya satu perjuangan.

“Jihad memerangi orang tengah, ekonomi, pendidikan dan bukan perang.

“Malah jihad itu kalau nak buang segala kejahatan, ego dan sebagainya, untuk perjuangan menentang diri sendiri pun anggap jihad,” katanya.

Beliau juga berkata ada pihak salah faham dalam mentafsir Islam sehingga menggunakan kenyataannya untuk menakutkan orang bukan Islam.

“Semalam saya difahamkan ada 2 stesen TV8 dan Astro, pun mengaibkan kenyataan saya yang menakut-nakutkan orang bukan Islam.

“Sebenarnya yang menakutkan orang bukan Islam adalah apabila kesilapan mereka tafsirkan Islam itu sendiri.”

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata pembangkang masih belum berpuas hati dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berhubung aset milik Lembaga Tabung Haji (TH) bernilai RM19.9 bilion yang dipindahkan kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV).

Beliau mahu Mujahid memberi penjelasan mengenai pemindahan aset itu.

“Kita difahamkan walaupun aset sudah berpindah tangan kepada SPV, tapi pembayaran kepada TH masih belum dapat.

“Difahamkan selepas 7 tahun, selepas jualan baru dapat. Orang tak berpuas hati,” katanya.