
Pada pilihan raya umum Mei 2018, Wong yang mewakili DAP mempertahankan kerusi berkenaan untuk kali ke-2 dengan majoriti kira-kira 10,000 undi – 10 kali ganda majoriti yang diperolehinya sewaktu parti itu merampas kerusi Sandakan daripada Barisan Nasional (BN) pada 2013.
Pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tony Paridi Bagang berkata, ini merupakan petunjuk bahawa ia akan terus menguasai kerusi tersebut dalam PRK akan datang.
“Angka itu cukup meyakinkan bahawa DAP akan berjaya mempertahankan kerusi tersebut,” katanya kepada FMT.
Bagang berkata, satu kurangan yang mungkin berlaku, jika ia berlaku pun, ialah PH menang dengan majoriti lebih kecil.
Katanya, terdapat beberapa “isu lama” di negeri itu seperti kurangnya tindakan berhubung pendatang tanpa izin dan persoalan tentang status autonomi Sabah yang belum selesai.
“Bagaimanapun saya fikir, ia tidak cukup besar sehingga membawa kepada kekalahan (PH),” kata beliau.
Penganalisis politik Arnold Puyok bersetuju.
“Saya tidak lihat ada isu besar. Rakyat mungkin mengadu tentang kegagalan PH memenuhi janji pilihan rayanya, tetapi mereka juga tidak nampak langkah mengundi calon bukan-PH boleh mengubah keadaan,” kata penolong dekan di Universiti Malaysia Sarawak itu.
Ahli akademik Sabah, Lee Kuok Tiung berkata, sokongan kepada Warisan penting bagi memastikan kemenangan parti kerajaan di Sandakan.
Beliau berkata, DAP mempunyai kelebihan dalam bentuk undi simpati berikutan kematian mengejut Wong, yang juga merupakan pengerusi DAP Sabah.
Wong adalah tokoh popular dalam kalangan masyarakat Sandakan.
“Saya tidak nampak adanya calon pembangkang yang mampu memberikan saingan kuat terhadap PH setakat ini.
“Dengan perkataan lain, pada masa ini, tidak ada alternatif lebih baik di Sandakan,” kata Lee, dari Universiti Malaysia Sabah, kepada FMT.
Beliau juga berkata, kritikan umum mengenai kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya akan mengambil masa untuk bertukar menjadi undi protes.