Tok Mat tidak akan jadi presiden Umno, kata Anwar

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berucap pada majlis ramah mesra dengan pengundi DUN Rantau di Kampung Segga Hilir, Rantau, hari ini.

SEREMBAN: Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini berkata, beliau yakin pemangku presiden Umno, Mohamad Hassan tidak akan diangkat menjadi presiden parti itu.

Beliau berkata, ini kerana terdapat pihak di dalam parti itu yang sudah mula berbaik dengannya sebelum beliau dilantik sebagai perdana menteri ke-8 bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

“Saya dalam Umno pun lama. Saya jadi timbalan presiden, pemangku presiden. Saya tak fikir Mohamad Hasan akan jadi presiden (Umno).

“Itu telahan sayalah. Pemahaman politik saya. Orang Umno jumpa saya juga. Ini politik.

“Mereka pun pikir, kena baik-baik dengan Anwar, (kerana) lepas ni Anwar jadi perdana menteri, dia pun nak beli ‘insurans’,” katanya dalam satu majlis ramah mesra penduduk Kampung Segga Hilir di sini di hadapan kira-kira 100 orang hadirin.

Bagaimanapun, Anwar tidak menamakan mana-mana individu atau pemimpin Umno yang dimaksudkan dalam ucapannya itu.

Beliau berkata, pihak berkenaan membuat perjumpaan dengannya secara rahsia.

“Kat bawah ni bukan main lagi. Kita ni keturunan Umno, PAS. Ya lah, tapi senyap-senyap kau datang runding juga dengan aku.

“Jadi orang kampung jangan terbawa-bawa. Kita di bawah berwap-wap, kat atas ni pakat-pakat,” katanya.

Anwar berkata, beliau tidak dapat memberitahu lebih lanjut isi pertemuan beliau dengan individu berkenaan atas dasar kepercayaan pihak itu kepadanya.

“Sebab orang itu yakin dengan saya. Makna kata rahsia. Takkanlah saya nak bocor. Minta maaf. Setakat itu cukup,” katanya.

Anwar hadir bagi menyokong kempen calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang sedang berjalan.

Hari ini merupakan hari ke-9 kempen bagi PRK tersebut yang menyaksikan pertandingan 4 penjuru antara Mohamad dengan Streram dan 2 calon Bebas, iaitu Malar Rajaram dan Mohd Nor Yassin.

Tarikh mengundi ditetapkan pada 13 April ini, manakala tarikh mengundi awal pada 9 April.