Ahli perniagaan didakwa tipu, berdepan 68 pertuduhan ubah wang haram

G Gnanaraja didakwa dengan 3 pertuduhan menipu minggu lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang didakwa menipu sebuah syarikat dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang, kini berdepan 68 pertuduhan pengubahan wang berjumlah RM11.4 juta.

G Gnanaraja didakwa mengarahkan RM11.4 juta yang dipercayai hasil aktiviti haram, dalam akaun bank Bumi Muhibah Capital Holdings Sdn Bhd, di mana beliau dikatakan menjadi pengarah dari 28 Julai 2017 hingga 18 Januari 2018, dibayar kepada pelbagai syarikat dan individu.

Jumlah tertinggi RM2.4 juta dibayar kepada sebuah syarikat Matthew Ong & Associate, manakala RM2.2 juta dibayar kepada Kementerian Dalam Negeri.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 4 (1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, dia boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang 5 kali ganda daripada jumlah wang haram itu.

Dua jurubahasa mengambil masa lebih sejam untuk membaca semua 68 pertuduhan itu kepada Gnanaraja di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob.

Dia dibenarkan diikat jamin RM50,000 dan diarah menyerahkan satu geran tanah kepada mahkamah sebagai sebahagian syarat jaminannya.

Timbalan pendakwa raya, Allan Suman Pillai memohon pertuduhan itu didengar di Mahkamah Sesyen Shah Alam, di mana dia didakwa dengan 3 pertuduhan menipu minggu lalu.

Peguam, Geethan Ram Vincent yang mewakili Gnanaraja tidak menolak pemindahan kes itu.

Minggu lalu, Gnanaraja didakwa menipu Pengarah Eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli sebanyak RM19 juta pada 2017.

Dia dikatakan memperdaya Zarul untuk percaya dia boleh membantunya menutup siasatan pengubahan wang haram terhadapnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Gnanaraja boleh dipenjara maksimum 10 tahun, denda atau disebat.