Raja tiada kuasa mutlak, kata Dr M dalam isu lantikan MB

KUALA LUMPUR: Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya yang istana tiada kuasa mutlak dalam pelantikan menteri besar, selepas Sultan Johor meminta pihak tertentu tidak mencampuri urusan negeri itu.

“Di waktu kita membentuk Persekutuan Tanah Melayu, kita memperkenalkan undang-undang negara, Perlembagaan. Dalam Perlembagaan ini, kita telah nyatakan Persekutuan Tanah Melayu dan negeri-negeri dalam persekutuan ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

“Bukan raja berkuasa mutlak. Kalau ianya masih ada dalam undang-undang perlembagaan Johor, itu terbatal dan Johor juga bersetuju dengan sistem pemerintahan dalam negara kita ini,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Kenyataan itu menyusul beberapa jam selepas perdana menteri dilaporkan berkata, parti pemerintah yang berhak melantik menteri besar Johor baru, bukannya istana Johor.

Jawatan itu kosong susulan peletakan jawatan Osman Sapian, Isnin lalu. Osman dilantik sebagai menteri besar Johor ke-16 pada 12 Mei 2018.

Terdahulu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dilaporkan meminta pihak tertentu berhenti bertelagah mengenai politik dan menumpukan usaha menjaga negara.

“Berkenaan Johor, jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri berdaulat ini masih mempunyai seorang sultan.

“Saya akan buat keputusan yang terbaik demi rakyat saya apabila tiba masanya nanti,” tulis Sultan Johor di Facebook hari ini.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebelum ini berkata, arahan menukar menteri besar sudah lama diberikan dan kuasa memilih menteri besar adalah hak mutlak sultan.

Mahathir berkata, Malaysia bukan lagi negara demokratik jika raja mempunyai kuasa mutlak untuk memilih perdana menteri dan menteri besar.

“Walaupun rakyat telah pilih parti yang berhak untuk melantik menteri besar, tetapi (jika) hak rakyat dinafikan, maka kita bukan (negara) demokrasi, kita sudah jadi negara beraja kuasa mutlak.

“Kalau ini sebenarnya (berlaku), kita boleh buat perbahasan sama ada kita menerima sistem pemerintahan sedia ada, iaitu raja tidak berkuasa, hanya mengambil tindakan atas nasihat kerajaan pusat.

“Kalau itu sudah dihapuskan, maka kita tak perlu ada pilihan raya lagi.”

Najib akan dikenakan tindakan

Mahathir berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap Najib Razak kerana mendedahkan sebahagian kandungan Kertas Putih Felda sebelum ia dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menyifatkan tindakan bekas perdana menteri itu ialah kesalahan serius dan semua pihak perlu menjadikannya sebagai peringatan.

“Ini (Najib) bukanlah wakil rakyat yang baru dilantik, tetapi seorang yang (pernah) menjadi perdana menteri pun tetap tidak mengambil kira peraturan-peraturan (Parlimen).”

Terdahulu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali mengesahkan satu usul sudah dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof untuk mengambil tindakan keras terhadap Najib yang membocorkan sebahagian dokumen itu di Facebooknya semalam.

RUU pinda Perlembagaan

Mahathir berkata, Putrajaya akan membincangkan kegagalan mendapat sokongan 2/3 di Dewan Rakyat untuk Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019.

“Tak dapat, tak dapatlah (majoriti 2/3). Itu mungkin kemudian akan bincang perkara ini dengan mereka.”

Semalam, kerajaan gagal mendapat majoriti 2/3 ahli Parlimen untuk meminda Fasal 2 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak.

RUU itu tidak diluluskan Dewan Rakyat apabila hanya 138 daripada 221 ahli Parlimen menyokongnya, kurang 10 undi untuk mencapai majoriti 2/3.