Ketua hakim Malanjum bersara tanpa majlis perpisahan besar-besaran

Richard Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman pada 1992 sebagai pesuruhjaya kehakiman.

PUTRAJAYA: Selepas 9 bulan menjadi ketua hakim negara, Richard Malanjum bersara hari ini tanpa majlis perpisahan besar-besaran yang biasanya diadakan untuk ketua institusi kehakiman.

Dalam menegakkan prinsip hidup secara sederhana, hakim kanan yang dilahirkan di Sabah itu turut menolak upacara simbolik, seperti mengetik kad perakam waktu pada hari terakhirnya di pejabat.

“Beliau menolak majlis perpisahan rasmi walaupun ada permintaan daripada kakitangan,” kata pegawai khasnya, Mohd Aizuddin Zolkeply.

Katanya, Malanjum sedang bercuti di luar negara.

Malanjum ialah seorang peguam sebelum menyertai perkhidmatan kehakiman pada 1992 sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Beliau menjadi hakim besar Sabah dan Sarawak pada 2006 dan merupakan orang pertama dari negeri Borneo yang dilantik sebagai ketua hakim negara Julai lalu.

Malanjum, yang berucap pada majlis pelantikan 10 hakim Mahkamah Tinggi pada Selasa lalu, mengingatkan hakim untuk sentiasa jujur dan merendah diri.

“Tiada siapa akan mempersoalkan gaya hidup anda, jika anda hidup secara jujur dan rendah diri,” katanya sambil menambah seseorang perlu bertindak mengikut hati nurani dan melakukan perkara betul.

Nasihat terakhir kepada hakim ialah memanfaatkan teknologi dalam urusan harian atau mereka akan ketinggalan.

Bagaimanapun, Aizuddin berkata, tempoh singkat Malanjum sebagai ketua hakim negara cukup bermakna kerana beliau berjaya memperkenalkan perubahan untuk pentadbiran badan kehakiman yang lebih baik.

“Beliau melaksanakan cadangan Jawatankuasa Reformasi Institusi untuk meningkatkan kecekapan dan menghapuskan rasuah,” katanya merujuk badan ditubuhkan kerajaan Pakatan Harapan sejurus mengambil alih pentadbiran negara pada Mei 2018.

Ketika mengetuai badan kehakiman negara, semua kes membabitkan Perlembagaan di Mahkamah Persekutuan didengar panel 9 hakim dan kes berkepentingan awam didengar panel 7 hakim.

Beliau turut memperkenalkan sistem “time sheet” di mahkamah Semenanjung Malaysia, iaitu sistem secara berkomputer bagi menggalakkan pengurusan masa mahkamah lebih berkesan untuk mengelakkan hakim didakwa kaki ponteng.

Bagi memastikan peguam tidak membuang masa di mahkamah sementara menunggu kes mereka didengar, beliau menempatkan monitor televisyen di lokasi strategik di Istana Kehakiman untuk memaklumkan bila kes mereka akan bermula.

Malanjum turut memperkenalkan pengurusan kes melalui “e-review” supaya peguam tidak perlu hadir di depan pendaftar mahkamah.

“Konsep pengurusan kes baru itu menjimatkan masa dan kos perjalanan peguam.”

Beliau turut mengadakan rundingan awam bagi peguam dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak serta Jabatan Peguam Negara untuk mempercepatkan perbicaraan serta rayuan.

Awal minggu ini, Malanjum ke sebuah sekolah menengah di sini untuk melancarkan program “Dari Mahkamah ke Bilik Darjah” untuk menerapkan ilmu berkaitan undang-undang dan memberi pendedahan awal mengenai intipati undang-undang serta mendidik mereka untuk menghormati undang-undang negara.