
Pemergiannya Allahyarham disahkan anak perempuan, Murni, yang memaklumkan bapanya meninggal dunia pada tengah hari.
“Allahyarham meninggal dunia dengan tenang, dikelilingi anak-anaknya,” katanya kepada FMT.
Beliau meninggalkan balu, Hamidah Choong Abdullah, dan empat anak.
Hamid dilahirkan di Kepala Batas, Pulau Pinang, menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada Mei 1969, di mana beliau berkhidmat selama 21 tahun.
Sepanjang tempoh itu, beliau pernah berkhidmat sebagai majistret, presiden Mahkamah Sesyen, penolong pengarah Biro Bantuan Guaman, dan timbalan pendaftar Mahkamah Tinggi.
Beliau dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1992, dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan pada 2002.
Allahyarham dilantik hakim Mahkamah Persekutuan setahun kemudian.
Pada September 2007, Hamid dilantik sebagai presiden Mahkamah Rayuan, sebelum dinamakan sebagai ketua hakim negara pada 11 Disember tahun sama.
Beliau bersara pada Oktober 2008.
Bekas hakim rayuan, Hamid Sultan Abu Backer, memuji Abdul Hamid sebagai seorang hakim yang mempunyai pengetahuan khusus dalam undang-undang sivil dan syariah.
“Beliau antara hakim yang sangat meminati penulisan penghakiman dan juga pantas menggerakkan fail-fail,” katanya.
Beliau berkata, Abdul Hamid juga merintis jalan bagi dokumen perbankan Islam untuk mendapatkan keabsahan kontrak selaras undang-undang lazim dan Akta Kontrak.
Hamid, yang berkhidmat sebagai pesuruhjaya kehakiman semasa tempoh Abdul Hamid menjadi ketua hakim negara, berkata frasa ‘buat kerja’ berupa pemacu utama yang diperjuangkannya bagi menggerakkan badan kehakiman memenuhi obligasi awam dalam menyelesaikan tunggakan kes yang terlalu banyak.
Abdul Hamid pernah mempengerusikan Mahkamah Persekutuan yang membebas dan melepaskan pemimpin pembangkang ketika itu, Anwar Ibrahim, pada 2004.
Beliau juga mempengerusikan Mahkamah Khas yang membicarakan tuntutan sivil terhadap bekas Yang di-Pertuan Agong dan pemerintah negeri yang sedang memerintah, di mana beliau membuat keputusan yang memihak kepada plaintif.
Selepas persaraannya, Abdul Hamid dilantik antara lain sebagai ahli Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM), yang membawa gelaran ‘Tun’, pada 2008.
Kematian Abdul Hamid berlaku sehari selepas bekas hakim Mahkamah Rayuan, Shaik Daud Ismail, meninggal dunia.