PM yakin Malaysia boleh manfaatkan 5G dalam 3 tahun

PM yakin Malaysia boleh manfaatkan 5G dalam 3 tahun

Dr Mahathir berkata 5G bolehkan negara lonjak ekonomi ke arah pertumbuhan kukuh dan mapan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memerhatikan mesin simulator 5G Malaysia Showcase 2019 di Putrajaya hari ini.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yakin Malaysia akan dapat memanfaatkan teknologi 5G dalam tempoh 3 tahun akan datang, dengan persediaan yang diperlukan untuk melaksanakannya.

Beliau berkata ini akan membolehkan negara melonjakkan ekonomi negara ke arah pertumbuhan yang kukuh dan mapan.

“Kita telah pergi jauh dan masih ada jarak yang jauh untuk melaluinya. Apa yang kita lakukan hari ini adalah asas kepada Malaysia ke era baru dan menjadi asas penting bagi kita untuk kekal relevan dan berdaya saing,” katanya semasa berucap melancarkan Pameran 5G Malaysia 2019 hari ini.

Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, Mahathir mengimbau 23 tahun lalu, beliau melancarkan Koridor Raya Multimedia iaitu pelan bagi membawa Malaysia lebih maju dalam dunia digital.

Beliau berkata hari ini dia melancarkan satu lagi detik penting dalam teknologi maklumat, iaitu kemudahan 5G Malaysia.

Kemudahan itu akan memberikan rangkaian komunikasi tercanggih setakat ini.

Sebelum itu, Mahathir turut meluangkan masa meninjau pameran dan menaiki kenderaan Exora tanpa pemandu sejauh kira-kira 100m dari Istana Kehakiman menuju ke Kompleks Perbadanan Putrajaya untuk majlis perasmian.

Pameran 5G anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), memberi peluang kepada orang ramai, pemain industri dan pihak berkepentingan merasai dan melihat sendiri manfaat teknologi 5G terhadap kehidupan mereka pada masa hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.