Bayar RM6,500 untuk masuk Malaysia atau dibunuh, kata saksi RCI Wang Kelian

Mangsa akan dipukul sehingga mati dan yang masih hidup diminta menanam mayat mereka yang terbunuh di kem tahanan pelarian di Thailand. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Pendatang asing tanpa izin (Pati) dipaksa membayar tebusan sebanyak RM6,500 sekiranya mahu masuk ke Malaysia secara haram melalui sempadan Thailand, kata seorang saksi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam kes penemuan kem penyelupan manusia dan kubur besar di Wang Kelian, Perlis.

Inspektor Husyairi Musa, yang merupakan bekas ketua Bahagian Risikan Operasi di Ibu Pejabat Daerah Polis Padang Besar berkata, mangsa akan dipukul sehingga mati dan yang masih hidup diminta menanam mayat mereka yang terbunuh di kem tahanan pelarian di Thailand.

“Berdasarkan penerangan, sekiranya mereka nak keluar kem (persembunyian Pati) dari Thailand untuk masuk Malaysia, perlu bayar RM6,500.

“Mereka kata perlu bayar ejen dari Myanmar sendiri,” katanya.

Beliau berkata, dakwaan itu diperolehi daripada rakaman percakapan salah seorang Pati yang ditangkap pada Mei 2015.

Husyairi merupakan saksi ke-18 dalam pendengaran awam yang diadakan di Dewan Gemilang Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya yang memasuki hari ke-6 hari ini.

Saksi tampil memberi keterangan di depan 7 panel RCI yang diketuai bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria selaku pengerusi.

Husyairi Muhd Isa.

Menceritakan dakwaan itu, Husyairi berkata, dalam rakaman percakapan salah seorang Pati yang ditangkap, beliau datang dari Myanmar berikutan pergolakan yang berlaku dalam negara itu.

Katanya, disebabkan itu beliau dan keluarganya melarikan diri dari Myanmar.

“Mereka menaiki bot yang memuatkan 300 hingga 400 orang dan mengambil perjalanan lebih kurang 15 hari untuk sampai ke Thailand.

“Apabila sampai Thailand, mereka akan ditahan dan dikumpul di kem tempat pengumpulan selama 3 hingga 4 bulan. Kalau ada duit bayaran untuk masuk ke Malaysia, baru mereka dilepaskan,” katanya.

Dalam pada itu, Husyairi berkata, Pati itu melepaskan diri dari kem di Thailand selepas kem tersebut diserbu pihak tentera negara itu.

Katanya, beliau memecahkan pintu untuk keluar dari kem tersebut.

“Kami dapati semua larikan diri dan masa itu ambil kesempatan pecahkan pintu dan larikan diri.

“Jumpa isteri dan anak dan lari masuk hutan tanpa hala tuju selama 3 hari. Selepas itu, (dia) berjumpa seorang lelaki dan mengatakan telah masuk ke Malaysia,” katanya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, di sempadan Malaysia-Thailand.