Remaja ditahan jadi ‘tekong darat’ demi upah RM100

Remaja ditahan jadi ‘tekong darat’ demi upah RM100

Remaja positif dadah itu turut guna Mitsubishi Triton abangnya senyap-senyap untuk seludup Pati dari sempadan ke Stesen Bas Kota Bharu.

Remaja 18 tahun bersama lima pendatang tanpa izin yang ditahan dalam operasi Isnin lalu. (Gambar Briged Tenggara PGA)
PETALING JAYA:
Seorang remaja 18 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Bunohan, Tumpat, kelmarin kerana menjadi ‘tekong darat’ dengan upah RM100 bagi menghantar pendatang tanpa izin (Pati) ke stesen bas.

Lelaki yang didapati positif dadah itu turut menggunakan Mitsubishi Triton abangnya secara senyap-senyap untuk menyeludup Pati dari sempadan ke Stesen Bas Kota Bharu.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain, berkata dalam operasi kira-kira 11.30 malam Isnin lalu, anggota Batalion 9 PGA mengekori sebuah pacuan empat roda yang memecut laju, sebelum memintasnya di Jalan Terbok-Kelaboran Belukar, Tumpat.

“Dua lelaki sempat melarikan diri, manakala lima warga asing dijumpai bersembunyi di tempat duduk belakang kenderaan tersebut.

“Hasil siasatan lanjut, pasukan operasi menyerbu sebuah rumah di Kampung Bunohan pada 4 pagi dan menahan seorang remaja 18 tahun yang dipercayai bertindak sebagai tekong darat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata, selain Mitsubishi Triton itu, lima pasport, empat telefon bimbit dan wang tunai pelbagai mata wang turut dirampas yang keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM126,551.

Jelasnya, lima Pati terdiri daripada empat warga India dan seorang rakyat Sri Lanka itu disyaki menyeberangi sungai ke Malaysia dengan menaiki perahu dari Thailand menerusi laluan tidak sah.

“Mereka mengaku membayar ejen di India sebanyak RM3,000 seorang sebagai kos perjalanan ke Malaysia,” katanya sambil menambah enam lelaki itu diserahkan kepada IPD Tumpat untuk disiasat mengikut Seksyen 55(e) dan 6(1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.