PGA tahan 2 lelaki, rampas 5kg bunga ganja

PGA tahan 2 lelaki, rampas 5kg bunga ganja

Suspek termasuk seorang warga Sri Lanka itu ditahan dalam sebuah kenderaan di di Serongga, Pasir Mas, Kelantan.

handcuff gari
Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing yang disyaki cuba mengedar dadah dipercayai bunga ganja seberat kira-kira 5kg dengan nilai RM400,000 dalam operasi di Serongga, Pasir Mas, Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Ahmad Radzi Hussain berkata kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan anggota Sekat Pintas Serongga menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki tempatan yang membawa seorang penumpang warga Sri Lanka pada 10.30 pagi tadi.

Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati pas lawatan sosial warga Sri Lanka itu telah tamat tempoh dan kedua-dua suspek kemudian ditahan untuk pemeriksaan lanjut, lapor Bernama.

Beliau berkata pemeriksaan menyeluruh di bahagian belakang kenderaan menemukan sebuah beg hitam mengandungi lima ketulan mampat disyaki bunga ganja.

Menurutnya, siasatan awal mendapati setiap kilogram bahan itu boleh mencecah nilai sehingga RM80,000.

“Kedua-dua suspek berusia antara 20-an hingga 50-an kini ditahan untuk siasatan lanjut manakala rampasan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.