
Perdana Menteri berkata, peruntukan itu akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Kelantan.
“Sejak tahun lepas, saya turun ke daerah untuk mendengar masalah yang dihadapi daripada ketua jajahan seperti isu parit kerana hal ini menyentuh masalah rakyat, sebab itu kita dengar dan ambil perhatian,” katanya.
“Walaupun masalah kemiskinan tegar selesai, masalah kemiskinan ini masih ramai termasuk di Kelantan. Jadi saya akan bagi peruntukan khas tambahan di Kelantan untuk projek membantu rakyat bawah kategori miskin sebanyak RM20 juta.”
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Lawatan Masjid Gong Chapa hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Pada majlis itu, Anwar berkata, Masjid Gong Chapa, yang menerima peruntukan berjumlah RM4 juta pada April tahun lepas, kini memasuki Fasa 2 pelaksanaan yang melibatkan pembinaan dewan serbaguna serta kerja-kerja landskap, dan dijangka siap pada 31 Mei 2027.
“Proses pemulihan ini direalisasikan menerusi dua fasa utama. Fasa 1 telah siap pada 31 Mac lepas, merangkumi ruang solat utama, tandas, stor, bilik jenazah dan rumah imam,” katanya.
“Dengan siapnya projek Fasa 1, masjid ini telah melalui fasa pemodenan yang signifikan, membolehkan penduduk sekitar menikmati kemudahan ibadah yang bukan sahaja lebih lengkap malah jauh lebih selesa.”