Gerai burger lagi cantik, menteri arah naik taraf pondok keselamatan di sempadan

Gerai burger lagi cantik, menteri arah naik taraf pondok keselamatan di sempadan

Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau melihat sendiri keuzuran kemudahan itu dalam lawatan ke Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Pangkalan Hulu.

Saifuddin Nasution Ismail meninjau ke sempadan Malaysia-Thailand, semalam. (Gambar Facebook Saifuddin Nasution Ismail)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan pondok keselamatan agensi penguat kuasa di sempadan dinaik taraf segera selepas mendapati keadaannya terlalu daif, malah disifatkannya lebih buruk daripada gerai burger.

Beliau berkata perkara itu perlu diberi perhatian segera kerana kemudahan asas untuk petugas di sempadan tidak sepatutnya diabaikan.

Menurutnya, keadaan itu dilihatnya dalam tinjauan ke sempadan di Padang Besar, Bukit Kayu Hitam, Durian Burung dan Pangkalan Hulu, semalam,

“Tempat berlindung mereka sangat tidak memuaskan, macam store (gerai) burger saja malah lebih cantik.

“Saya sudah minta Ketua Setiausaha KDN (Awang Alik Jeman) selesaikan perkara ini terlebih dahulu terutama di Pangkalan Hulu…biar nampak lebih sesuai,” katanya yang menyifatkannya sangat uzur.

“Kita naik taraf seperti di pos Wang Kelian. Kosnya pun tidak besar, jadi saya mahu ia disegerakan.”

Saifuddin berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan kini berdepan cabaran besar untuk mempersiapkan rakyat menghadapi kemungkinan kesan konflik global terhadap bekalan tenaga, tanpa mencetuskan panik.

Katanya, kerajaan perlu mencari keseimbangan dalam menyampaikan mesej kepada rakyat supaya mereka memahami situasi sebenar, namun tidak terlalu cemas atau mengambil mudah.

Menurutnya, kerajaan tidak mahu rakyat panik, tetapi pada masa sama tidak mahu wujud “sindrom penafian” seolah-olah perkembangan global tidak akan memberi kesan kepada negara.

“Cabaran utama kerajaan ialah bagaimana kita hendak mempersiapkan rakyat untuk menerima hakikat bahawa kesannya akan datang, tetapi dalam masa sama kita tidak mahu rakyat panik.

“Pada masa sama juga, kita tidak mahu rakyat terlalu leka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.