
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, PAS Sandakan dan PAS Sabah akan menggerakkan jentera pilihan raya setempat bagi memastikan ahli dan penyokong parti Islam di kawasan itu turun mengundi pada 11 Mei depan.
“Selaras dengan keputusan PAS Pusat tidak meletakkan calon dalam PRK Parlimen Sandakan semasa hari penamaan calon yang lalu, PAS mengesahkan akan memberi sokongan padu kepada wakil pembangkang yang bertanding menentang calon Pakatan Harapan (PH).
“Langkah ini diambil bagi menguatkan lagi blok pembangkang yang akan memainkan peranan semak dan imbang dalam Parlimen dan terhadap kerajaan, demi kebaikan negara dan seluruh rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tsen sewaktu ditemui selepas selesai penamaan calon memaklumkan sebagai naib presiden parti tempatan, beliau mempunyai banyak kerja yang perlu dilakukan.
“Setakat ini, sokongan rakyat kuat untuk PBS dan saya bersyukur parti memberi saya peluang ini untuk bertanding di Sandakan. Saya dilahirkan di sini, jadi ini rumah saya.
“Saya menghabiskan 8 tahun mewakili kawasan Batu Sapi, yang bermakna saya mempunyai pengalaman yang diperlukan untuk melakukan tugas ini jika diberi peluang,” katanya.
Tsen ditemani lebih 300 penyokong ke pusat penamaan. Mereka terdiri bukan sahaja ahli PBS tetapi juga penyokong Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan parti komponen BN, Umno dan MCA.
PRK Sandakan bakal menyaksikan pertembungan 5 penjuru antara Tsen, calon DAP Vivian Wong serta 3 calon bebas iaitu Chia Siew Yung, Sulaiman Samat dan Hamzah Abdullah.