Jangan manjakan graduan pencari kerja, kata pakar ekonomi

Kegagalan memenuhi keperluan pasaran terus menjadi masalah utama kepada graduan baru yang mencari kerja. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi veteran menggesa kerajaan supaya mengetepikan cadangan memberi subsidi gaji permulaan kepada graduan baru, sebaliknya menggalakan syarikat memberi gaji lebih tinggi kepada mereka yang lebih berkelayakan dan lebih produktif.

Bekas pegawai kanan kerajaan, Ramon Navaratnam berkata, kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha menjamin kemapanan kewangannya.

“Sejauh mana lagi kita mahu pergi bagi mewujudkan masyarakat manja seperti ini?” kata Navaratnam, yang merupakan pengerusi Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli).

“Asasnya ialah kita harus meninggalkan mentaliti manja dan subsidi ini serta fokus ke arah menjadi lebih produktif.”

Ramon Navaratnam.

Bekas timbalan ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata, kerajaan sebaliknya perlu menggalakkan syarikat membayar gaji lebih tinggi kepada mereka yang lebih berkelayakan serta lebih produktif.

Katanya, latihan keusahawanan perlu diberikan kepada para graduan, atau syarikat diberikan insentif dalam automasi sekiranya pergantungan negara pada pekerja asing mahu dikurangkan.

Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon juga bersetuju bahawa subsidi bukanlah jalan penyelesaian.

Katanya subsidi hanyalah penawar jangka pendek kepada satu masalah jangka panjang, iaitu kelayakan graduan tidak memenuhi keperluan pasaran.

Beliau berkata, masalah graduan menganggur adalah natijah daripada dasar pendidikan yang lemah, termasuk kegagalan memberi fokus kepada latihan teknikal serta masalah kelayakan graduan tidak sesuai dengan keperluan negara.

J Solomon.

“Dengan syarat kemasukan yang minimum, ramai yang diberikan akses mudah kepada pendidikan tinggi sedangkan mereka mempunyai peluang lebih baik sekiranya dilatih sebagai juruteknik dan tukang berkemahiran tinggi.

“Sebaliknya kita ada ramai graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memenuhi keperluan sebuah negara membangun, lebih daripada yang kita perlukan.”

Beliau bertanya sama ada kerajaan bersedia mengambil langkah perlu dan membuat rombakan besar ke atas sistem pendidikan negara.

“Pelajar kita sudah sedia diberikan subsidi di universiti awam, perlukah mereka terus disubsidi ketika mencari kerja?”, katanya.

Solomon berkata, majikan perlu bekerjasama dengan kolej dan universiti bagi memastikan bekalan kemahiran dipenuhi, sementara kerajaan pula perlu mempermudahkan proses tersebut.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bagaimanapun mengalu-alukan idea pemberian subsidi itu dengan berkata, gaji sedia ada tidak memenuhi jangkaan graduan.

Shamsuddin Bardan.

“Dengan pemberian subsidi, graduan akan menerima kerja yang ditawarkan dan mendapat pengalaman yang sangat berguna bagi mencari kerja lebih baik pada masa akan datang,” kata pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan kepada FMT.

Katanya, ini akan mengurangkan jumlah pekerja asing dan pengaliran keluar ringgit.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, Putrajaya belum membuat keputusan berhubung cadangan tersebut.

Laporan akhbar Sin Chew Daily menyebut bahawa kerajaan bercadang menyediakan peruntukan sebanyak RM6 bilion dalam bentuk elaun dan subsidi kepada graduan baru bagi membantu generasi muda Malaysia memperoleh pekerjaan.