Maria Chin sedia bantu KPN wujud IPCMC

Maria Chin sedia bantu KPN wujud IPCMC

KPN Abdul Hamid dilaporkan berkata bahawa beliau akan mengambil tanggungjawab bagi memastikan polis mendapat 'hasil terbaik dari semua aspek' sekiranya IPCMC ditubuhkan.

Maria Chin Abdullah.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menawarkan bantuan kepada Ketua Polis Negara yang baru, Abdul Hamid Bador, bagi melaksanakan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Semalam KPN dilaporkan berkata, beliau bersetuju dengan penubuhan suruhanjaya kontroversi itu setelah beberapa syarat dan rundingan diluluskan.

Maria, bekas pengerusi badan reformasi pilihan raya, Bersih 2.0 menyifatkan kenyataan Abdul Hamid “luar biasa dan menggambarkan kefahaman tentang IPCMC dan tidak terhad kepada kepentingan serta kebajikan polis bagi membolehkan mereka memberikan khidmat yang cemerlang.”

Beliau berkata, Abdul Hamid membuat langkah mula yang baik dan menambah bahawa “beliau pasti akan membantu KPN baru itu melaksanakan IPCMC.”

Aktivis hak asasi manusia Lim Wei Jiet berkata, beliau berharap Abdul Hamid berjaya meyakinkan pasukan polis supaya menerima suruhanjaya baru itu.

Lim Wei Jiet.

Lim, yang merupakan setiausaha agung Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) berkata, beliau juga berharap kerajaan akan menjelaskan kepada penentang IPCMC dalam pasukan polis bahawa suruhanjaya tersebut bertujuan memperkuat profesionalisme serta reputasi polis.

Abdul Hamid berkata, beliau akan mengambil tanggungjawab bagi memastikan polis mendapat “hasil terbaik dari semua aspek” sekiranya IPCMC ditubuhkan.

Katanya, beliau akan memastikan orang ramai berasa dilindungi dan mendapat perkhidmatan terbaik, menurut laporan Malaysiakini.

Bagaimanapun katanya, beliau akan mendapatkan nasihat daripada bekas pegawai tertinggi polis terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan.

Lim berkata, mekanisme sedia ada gagal menghalang salah guna kuasa dan kes kematian dalam tahanan masih berleluasa.

Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, yang bertanggungkawab ke atas polis sebelum ini mempertahankan keputusan untuk menubuhkan IPCMC.

Beliau juga berkata, banyak perkara yang perlu diterangkan dan jelaskan kepada pasukan itu.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) diarah memberi taklimat kepada polis berhubung perkara itu. “Hanya selepas itu kita akan meneruskan rancangan menggubal undang-undang yang berkaitan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.