Salahkah ‘pacal hina’ bincang kebimbangan bersama, kata Kadir Jasin

PETALING JAYA: Wartawan veteran, A Kadir Jasin berkata orang kebanyakan bebas bertemu mengenai kebimbangan bersama, membincangkan cara melindungi semua rakyat dan memastikan raja-raja berperlembagaan “tidak memusnahkan diri sendiri”.

Dalam satu catatan Facebook, penasihat khas perdana menteri mengenai media dan komunikasi itu berkata sama ada di bangunan pencakar langit, kopitiam atau gerai mamak, rakyat bebas membincangkan isu kos sara hidup, kebebasan dan peranan media, dan perkembangan politik, “termasuk di Johor”.

“Salahkah ‘pacal hina’ bertemu di mana-mana di Malaysia Baru ini untuk membincangkan kebimbangan bersama?” katanya.

Beliau berkata mereka banyak berbincang mengenai para menteri Pakatan Harapan, menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

“Osman Sapian sudah pergi dan sekarang Dr Sahruddin Jamal jadi menteri besar Johor. Kami memerhatikan anda,” katanya.

“Jika Umno dan PAS bebas menunjuk perasaan di Kuala Lumpur yang dikatakan untuk melindungi orang Melayu, agama Islam dan raja-raja, kami juga bebas membincangkan cara untuk melindungi semua rakyat dan memastikan raja-raja berperlembagaan tidak memusnahkan diri sendiri”.

Semalam, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim mencabar mereka yang didakwa mahu “finish” (selesaikan) kerabat diraja itu supaya “go all out” (melakukannya sepenuh daya), dalam satu catatan Twitter yang ditujukan kepada seorang “Kadir”.

TMJ tidak menyatakan siapakah “Kadir”, tapi dipercayai secara tidak langsung adalah Kadir, bekas jurucakap Majlis Penasihat Kerajaan yang diketuai penasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Daim Zainuddin.

TMJ dalam catatannya menyebut tentang satu mesyuarat di Menara Ilham, Kuala Lumpur di mana mesyuarat-mesyuarat majlis penasihat diadakan.

Catatan itu tertulis:

“Kadir i know abt the meeting in menara Ilham. Pls proceed. But like i said before. Nak finish us, must finish completely. Tk boleh half way atau 50%. You must go all out 110%. My opinion. Buat masa yang sama please selesaikan masaalah Rakyat. Itupun kalau sudi. Hanya pandangan.”

(Kadir, saya tahu tentang mesyuarat di Menara Ilham. Sila teruskan. Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini. Nak selesaikan kami, mesti selesaikan sepenuhnya. Tak boleh separuh jalan atau 50%. Kamu mesti melakukannya sepenuh daya 110%. Pandangan saya. Buat masa yang sama tolonglah selesaikan masalah rakyat. Itupun kalau sudi. Hanya pandangan.)

Perkembangan ini timbul disebalik laporan mengenai sebuah plot tanah yang berkait dengan pembinaan Sistem Transit Rapid Johor-Singapura dipindahkan kepada Sultan Johor.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkata tidak pernah dimaklumkan tentang apa-apa perubahan ke atas hak milik tanah seluas 4.5 hektar itu, yang merupakan 1 daripada 5 lot tanah yang terlibat dalam perjanjian tukar tanah antara kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

Bagaimanapun, Sultan Ibrahim sedia menyerahkan tanah yang terlibat kepada kerajaan tanpa sebarang kos, dengan syarat projek RTS mestilah diteruskan dengan segera.

Projek transit aliran massa sepanjang 4km itu akan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.