
Dalam temu bual dengan majalah The Week India, Naik berkata beliau mahu jaminan dari New Delhi bahawa beliau tidak akan ditahan sehingga beliau didapati bersalah.
“Sekiranya ada jaminan dari Mahkamah Agung India bahawa jika Dr Zakir Naik datang, mereka tidak akan menangkap saya sehingga saya disabitkan, saya akan datang,” katanya.
Tambahnya, Beliau masih mempercayai badan kehakiman India, Naik, yang tinggal di Malaysia sebagai penduduk tetap, berkata kerajaan Narendra Modi menjejaskan sistem keadilan.
“Sebelum kerajaan BJP datang, anda boleh bercakap terhadap kerajaan dan sekurang-kurangnya 80% anda mendapat keadilan. Hari ini, peluang 10-20%,” kata Naik kepada majalah yang berpangkalan di Kerala.
Beliau berkata kebanyakan orang Islam yang ditahan atas tuduhan keganasan dibebaskan 10 hingga 15 tahun selepas mahkamah mendapati mereka tidak bersalah.
“Jadi, jika saya melihat secara purata, saya akan berada dalam penjara kira-kira 10 tahun dan keseluruhan misi saya akan tergendala, mengapa saya harus menjadi bodoh?”
Naik juga mengulangi tawarannya untuk berbincang dengan penyiasat India di Malaysia.
Minggu lalu, Direktorat Penguatkuasaan India mendakwanya secara “in absentia” berhubung pengubahan wang haram, menuduhnya memperoleh aset jenayah bernilai Rs1.9 bilion (RM114.5 juta).
Agensi itu berkata Naik membuat “ucapan dan ceramah mengapi-api” yang menghasut sejumlah pemuda Islam di India untuk melakukan tindakan keganasan.
Naik menafikan tuduhan terhadapnya dengan keras, dan mengelak daripada pihak berkuasa India yang cuba mengusirnya dari Malaysia.
Naik dalam temu bual dengan The Week sekali lagi menolak tuduhan beliau memberi inspirasi kepada serangan pengganas.
“Saya mencabar sesiapa yang mengatakan dia terinspirasi (oleh saya) untuk membunuh orang yang tidak bersalah. Jika dia berkata demikian, maka dia berbohong,” katanya, menjawab dakwaan beliau memberi inspirasi kepada serangan pengganas di Bangladesh dan serangan bom terbaru di Sri Lanka.
Naik, yang mengendalikan saluran TV satelit evangelis, Peace TV serta memiliki sejumlah syarikat lain, juga menolak tuduhan pengubahan wang haram yang difailkan kepadanya.
Katanya, beliau memperoleh lebih Rs10 juta (RM592,533) setiap bulan dan juga mempunyai perniagaan hartanah.
“Ini adalah satu jenayah jika saya menggunakan wang untuk dadah atau keganasan. Mereka kata Harmony Media adalah kilang keganasan. Jika ia mempromosikan keganasan, maka bagaimana AS membenarkan saluran saya selama bertahun-tahun?” soalnya.